KUCHING: Kerajaan negeri akan terus melaksanakan projek mikro hidro elektrik di kampung-kampung di pedalaman di Sarawak.
Ketua Menteri, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, menjadi harapan kerajaan negeri projek seumpamanya dapat diteruskan di kawasan-kawasan pedalaman yang lain demi manfaat penduduk.
Sehubungan itu, beliau memuji usaha dan penglibatan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dalam membantu masyarakat luar bandar, menikmati kemudahan asas yang belum dapat disalurkan oleh pihak kerajaan.
Katanya, penyelidikan yang dibuat oleh Unimas berkaitan projek berkenaan amat bertepatan dengan keperluan semasa kerajaan negeri bagi mencari alternatif terbaik dalam menyelesaikan masalah air di kawasan pesisir Sarawak.
“Saya berharap projek ini dapat dipergiatkan bagi memberi manfaat bukan sahaja kepada masyarakat tempatan Sarawak, tetapi dapat dikongsi dan dikomersialkan di peringkat antarabangsa,” katanya di Majlis Konvokesyen Unimas Ke-25, di sini hari ini.
Abang Johari berkata, membangunkan negeri Sarawak yang luas merupakan satu cabaran besar kepada kerajaan negeri.
Justeru, katanya, pada masa ini fokus utama kerajaan negeri adalah untuk mengatasi masalah bekalan air bersih dan tenaga elektrik di kawasan-kawasan pedalaman.
Abang Johari yang juga Pro-Canselor Unimas berkata, dalam usaha menjadikan Sarawak maju menjelang 2030 satu realiti, kerajaan negeri dan Unimas tekad dan konsisten terhadap tanggungjawab masing-masing.
Mengenai ekonomi digital, beliau berkata, peranan dan sumbangan Unimas dalam ekonomi digital Sarawak amat diperlukan.
Dalam hal ini, tambahnya, kerajaan negeri memberi kepercayaan kepada Unimas untuk menjadi penyelaras Pusat Kecemerlangan – Sarawak Centre of Excellence (CoE) yang bertindak sebagai penggerak utama bagi membolehkan aktiviti pembangunan penyelidikan dan teknologi dilaksanakan secara holistik bagi menyokong sektor Ekonomi Digital. – UTUSAN











