Pahang kukuhkan cengkaman Kumpulan C - Utusan Malaysia

Pahang kukuhkan cengkaman Kumpulan C

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 17 Ogos – Pahang terus mengukuhkan cengkaman selaku pendahulu Kumpulan C selepas menundukkan Sabah 2-1 dalam aksi Piala Malaysia walaupun hanya beraksi dengan 10 pemain.

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Likas itu, skuad Tok Gajah membuka tirai jaringan seawal minit kedua perlawanan menerusi Dickson Nwakaeme yang berjaya melepasi kawalan Park Taesu sebelum melepaskan rembatan deras.

Sabah hampir memperoleh gol penyamaan pada minit ke-16 namun rembatan Alto Linus terkena pertahanan lawan dan berjaya ditepis penjaga gol Pahang, Mohd Helmi Eliza Elias.

Pahang terus beraksi cemerlang dengan meledak jaringan kedua menerusi Lazarus Kaimbi.

Aksi separuh masa kedua menyaksikan Sabah berjaya merapatkan jurang menerusi jaringan Aguinaldo Mendes Veiga pada minit ke-53 dan pada minit ke-85, Pahan terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Safuwan Baharudin dilayangkan kad kuning kedua.

Bagaimanapun, Sabah gagal memanfaatkan kelebihan itu bagi sekurang-kurangnya mencari gol penyamaan dan sekali gus membolehkan Pahang meraih tiga mata berharga daripada perlawanan itu.

Dalam satu lagi aksi Kumpulan C, Perak gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila sekadar terikat seri 1-1 menentang Pulau Pinang di Stadium Perak, Ipoh.

Rentak perlawanan anak buah Mehmed Durakovic itu bermula rancak dengan tendatangan Ronaldo Henrique Silva yang membuah mata seawal minit ke-11 di depan pintu gawang lawan hasil hantaran lintang Partiban K. Janasekaran.

Biarpun begitu, skuad Harimau Kumbang bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-63 dalam babak kedua menerusi jaringan Anselmo Cassagrande.

Saingan Kumpulan A menyaksikan Terengganu mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu kumpulan dengan sembilan mata selepas menundukkan Negeri Sembilan 3-1 dalam aksi di Stadium sultan Ismail Nasirudin Shah.

Dalam aksi itu, Kipre Tchetche meledak hatrik untuk memastikan kejayaan pasukan tuan rumah manakala pasukan pelawat meraih jaringan saguhati menerusi Igor Carneiro.

Melaka United juga mengekalkan kedudukan selaku pendahulu Kumpulan D selepas meraih kemenangan selesa 3-1 ke atas Felda United dalam aksi yang berlangsung di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka.

Dalam aksi itu, Devan Raj meletakkan pasukan pelawat di hadapan pada minit ke-12 sebelum Luka Milunovic menggandakan jaringan pada minit ke-31.

Devan meledak jaringan peribadi kedua dalam perlawanan itu pada minit ke-62 sebelum pasukan tuan rumah meraih jaringan saguhati pada minit ke-74 menerusi pemain import dari Singapura, Khairul Amri.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×