KUALA LUMPUR 4 Ogos – Peugeot melantik Belfort Automobiles (Thailand), anak syarikat Master Group Corporation (Asia) Co. Ltd., sebagai pengimport eksklusif baharu dan pengedar kereta jenama berkenaan di Thailand.
Menurut Naza, Peugeot akan memperkenalkan sekurang-kurangnya lima model baharu di Thailand dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Katanya, dua kenderaan utiliti sukan (SUV), Peugeot 3008 dan Peugeot 5008 akan menjadi dua model pertama diperkenalkan di Thailand.
“Kedua-dua model ini dihasilkan di kilang Naza Automotive Manufacturing (NAM) di Gurun, Kedah.
“Ia merupakan hasil usaha sama Naza Corporation Holdings pada Februari 2018, yang mana satu perjanjian kerjasama telah ditandatangani untuk penubuhan hab pengilangan pertama di ASEAN bagi Groupe PSA,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.
Ia satu pencapaian buat Groupe PSA di ASEAN yang bermakna Peugeot kini beroperasi di 11 negara.
NAM sebelum ini mengeksport pengeluaran pertama ke Filipina dan Thailand dalam tempoh dua minggu lagi.
MGC-ASIA merupakan antara pengedar automotif dan syarikat pengangkutan utama di Thailand.
Kerjasama itu akan memacu pertumbuhan Groupe PSA seiring dengan strategi mengukuhkan lagi kedudukan Groupe PSA di pasaran ASEAN.
Majlis menandatangani pelantikan telah diadakan di Kedutaan Perancis di Bangkok, Thailand dan disaksikan oleh Duta Perancis ke Thailand, H.E Jacques Lapouge.











