PUTRAJAYA 2 Ogos – Kerajaan bersetuju secara prinsip untuk mewujudkan insurans dalam urusan pendaftaran tanah bagi mengelakkan berlakunya kes-kes penipuan dalam urusan pendaftaran hak milik.
Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli dalam satu kenyataan memberitahu, langkah itu berikutan terdapat banyak kes penipuan dan pemalsuan hak milik ketika ini.
“Oleh kerana pada masa ini terdapat banyak kes-kes melibatkan penipuan dan pemalsuan hak milik, maka konsep dana insurans akan dikaji supaya kerugian kepada pemilik-pemilik yang terlibat boleh dielakkan,” kata kenyataan itu yang dikeluarkan selepas Mesyuarat ke-75 Majlis Tanah Negara (MTN) di Bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.
Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan disertai menteri-menteri Kabinet.
Dalam pada itu, kenyataan itu menjelaskan, MTN bersetuju dengan cadangan pindaan Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 bagi memudahkan rakyat untuk memfailkan permohonan pusaka seterusnya menyelesaikan masalah pembahagian pusaka dalam kalangan waris.
Kenyataan tersebut memberitahu, cadangan pindaan itu antara lain adalah untuk meningkatkan bidang kuasa nilaian pejabat pusaka dari RM2 juta kepada RM5 juta.
Selain itu jelas kementerian, cadangan pindaan itu juga bagi menghapuskan syarat keperluan untuk memiliki harta tak alih dan membenarkan permohonan pusaka difailkan di mana-mana pejabat pusaka di dalam negeri di mana harta tak alih itu berada.
“MTN juga telah bersetuju dengan cadangan konsep perserahan dan pendaftaran secara elektronik (OPR) sepenuhnya. Kelulusan dasar ini akan membolehkan semua urusan perserahan dan pendaftaran hak milik pada masa hadapan dibuat di kaunter-kaunter pejabat tanah dan juga secara dalam talian,” katanya.
Tambahnya, MTN turut telah bersetuju dengan cadangan pindaan Kanun Tanah Negara bagi mengeluarkan permit bahan batuan, yang antara lain akan memberikan lebih kuasa kepada pentadbir-pentadbir tanah untuk menghentikan kerja-kerja pengeluaran bahan batuan yang merosakkan ekosistem alam sekitar.
“Sementara itu, ulasan-ulasan dari jabatan-jabatan teknikal dijadikan sebagai syarat mandatori sebelum permit pengeluaran bahan batu diberikan.
“Ini boleh mengawal dari masalah kerosakan alam sekitar disebabkan oleh operasi-operasi pengeluaran bahan batuan yang berlebihan,” katanya.
Melalui kertas status pewartaan kawasan hutan tadahan air dalam hutan simpanan kekal di Semenanjung, jelasnya, MTN telah bersetuju supaya kerajaan-kerajaan negeri mengekalkan pewartaan hutan tadahan air yang telah dibuat sebelum ini iaitu sebanyak 809,823 ekar (327,723 hektar).
Tambahnya, terdapat tiga negeri yang masih belum menyelesaikan baki pewartaan kawasan hutan tadahan air iaitu Johor, Perak dan Pulau Pinang yang mana jumlah keseluruhan kawasan hutan tadahan air yang belum diwartakan bagi ketiga-tiga negeri itu adalah seluas 139,290 ekar (56,368 hektar). – UTUSAN ONLINE











