KUALA LUMPUR 2 Ogos – Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat Batu 12, Jalan Kuching-Serian, Sarawak, kelmarin.
Memetik laporan portal Utusan Borneo, kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu mengakibatkan mangsa, Muhammad Taufik Hidayah Hamidy, 16, meninggal dunia serta-merta akibat cedera parah di kepala.
Semasa kejadian, mangsa bersama rakannya menaiki sebuah motosikal dari arah Serian dan dipercayai tidak sempat mengelak sebuah kereta yang membuat pusingan ‘U’ lalu merempuh bahagian belakangnya.
Impak rempuhan tersebut menyebabkan mangsa dan rakannya tercampak dari motosikalnya.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sarawak, Superintenden Alexson Naga Chabu ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan memberitahu siasatan lanjut berhubung kejadian masih dijalankan.
“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tindakan selanjutnya. Rakan mangsa yang membonceng motosikal hanya mengalami cedera ringan di kaki dan mendapatkan rawatan di hospital sama.
“Kedua-dua kenderaan yang terlibat dibawa ke Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan untuk pemeriksaan Puspakom dan Jabatan Kimia. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE











