SHAH ALAM 2 Ogos – Sebanyak 500 tiket perlawanan bola sepak Piala Sultan Selangor diberikan kepada rumah anak-anak yatim terpilih di sekitar Selangor pada Siri Jelajah Publisiti dan Penyerahan Tiket kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan penyokong di SACC Mall, Sabtu lepas.
Pengerusi dan Pengurus Piala Sultan Selangor 2019, Tan Sri Abd Karim Munisar berkata, sumbangan itu bertujuan memberi peluang kepada golongan kurang bernasib baik untuk bersama-sama menyaksikan perlawanan itu pada 24 Ogos ini.
“Selain itu, tiket turut diagihkan kepada 21 kelab persatuan dan penyokong bola sepak Selangor mengikut jumlah keahlian kelab dan persatuan seperti Kelab Pewaris Merah Kuning, Anak Selangor Fan Club dan Selangor Soccer Fan Club,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mohd. Azizi Mohd. Zain berkata, pihaknya menyokong penuh kejohanan seperti itu yang dapat memperkukuhkan hubungan baik antara dua negara melalui medium sukan.
“PKNS sendiri mempunyai identiti sukan yang sangat kuat di mana sepanjang 55 tahun ini, melalui program pembangunan sukan, PKNS telah banyak melahirkan bakat sukan yang berjaya hingga ke peringkat antarabangsa termasuklah lagenda sukan seperti Allayarham Mokhtar Dahari.
“PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) selaku penaja lokasi Siri Jelajah dan Penyerahan Tiket menyambut baik program ini dan menyokong penuh penganjuran Piala Sultan Selangor 2019 yang merupakan salah satu cabang dalam tanggungjawab sosial korporat syarikat,” katanya. – UTUSAN ONLINE











