LONDON – Kapten Liverpool, Jordan Henderson menegaskan bahawa The Reds akan berdepan lebih banyak cabaran bukan sahaja daripada juara bertahan Liga Perdana Inggeris, Manchester City, musim ini.
The Reds memberi tekanan hingga ke saat akhir pada musim lalu tetapi skuad kendalian Pep Guardiola berjaya merangkul gelaran dengan kelebihan satu mata pada hari terakhir.
Liverpool bangkit daripada kedukaan itu dengan trofi Liga Juara-Juara dan kedua-dua pasukan dijangka terus bersaing bagi merebut kejuaraan Eropah dan domestik bagi saingan kali ini.
Kedua-dua pasukan akan memulakan aksi hujung minggu ini dengan perlawanan Perisai Komuniti, namun Henderson percaya pasukannya perlu beraksi cemerlang berbanding musim lalu.
“Semua bercakap mengenai Liverpool dan City kerana mereka menjadi juara liga dan juara Eropah. Mudah untuk mereka membuat penilaian.
“Mereka perlu lihat pasukan lain. Pasukan lain juga menunjukkan peningkatan. Sudah pasti lebih daripada kami dan City akan bersaing.
“Kami semua perlu menghormati pasukan yang menjadi juara Liga Perdana Inggeris, dua kali berturut-turut. Bukan mudah untuk melakukannya. Mereka sentiasa meletakkan penanda aras yang tinggi untuk kami semua menjadi lebih baik.
“Pemain sedang dahagakan kejuaraan. Mereka mahukan trofi. Mereka mahu bekerja keras dan pengurus akan memastikannya,” kata Henderson.-AGENSI











