KOTA BHARU – Sepasang suami isteri cedera parah selepas ditetak seorang lelaki bersenjatakan parang di hadapan sebuah bank di Kuala Krai dekat sini pagi tadi.
Dalam kejadian pada pukul 11.20 pagi itu, mangsa lelaki berusia 45 tahun cedera di bahagian jari kanan dan luka di lengan serta dada kiri manakala isterinya berusia 48 tahun cedera dibahagian tangan sebelah kiri dipercayai akibat ditetak beberapa kali.
Sehingga kini, polis masih menyiasat motif kejadian namun polis tidak menolak sekiranya bekas suami kepada wanita berkenaan disyaki terlibat dalam kejadian tersebut.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Superintendan Wan Fauzi Wan Ishak berkata, sebelum kejadian pasangan suami isteri itu pergi ke sebuah bank untuk mengambil duit.
“Sebaik sahaja tiba di bank itu dan wanita tersebut turun dari sebelah kiri kereta, suspek terus menyerangnya dengan menggunakan sebilah parang.
“Suaminya cuba mempertahankan mangsa dan berlaku pengelutan. Akibat daripada pergelutan itu pasangan terbabit menerima rawatan lanjut di Hospital Kuala Krai,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.
Mengulas lanjut, suspek yang merupakan warga Pakistan itu dikatakan datang ke arah mangsa dengan menunggang sebuah motosikal.
“Kes ini disiasat Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan kerana mendatangkan kecederaan parah dengan menggunakan senjata,” katanya. – K! ONLINE











