AS sekat Menteri Luar Iran - Utusan Malaysia

AS sekat Menteri Luar Iran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN 1 Ogos – Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan terhadap Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pejabat Kawalan Aset Luar, Jabatan Perbendaharaan AS menerusi laman webnya semalam, selain menyatakan sekatan tersebut dibuat kerana Mohammad ‘bertindak seperti pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei’.

Setiausaha Perbendaharaan AS, Steven Mnuchin berkata, Mohammad sengaja ‘melaksanakan agenda yang tidak masuk akal dan melulu dalam pentadbiran Iran, selain menjadi jurucakap utama negara itu’.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mohmmad menerusi Twitter menyelar tindakan AS dengan menyatakan bahawa Washington sebenarnya melihat beliau sebagai satu ‘ancaman’.

“Sekatan itu tidak memberi kesan terhadap saya serta keluarga kerana saya tidak mempunyai harta atau kepentingan di luar Iran,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Al Jazeera.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Abbas Mouvasi menerusi Twitternya menulis ‘Kemuncak kebodohan dan ketidaktetapan pemimpin AS dapat dilihat apabila mereka tidak mengiktiraf peranan Mohammad dalam polisi Iran, tetapi sanggup mengenakan sekatan terhadap beliau.

‘Ini secara tidak langsung menunjukkan AS takut terhadap Mohammad’.

Koresponden Al Jazeera di Teheran, Dorsa Jabari melaporkan bahawa langkah terbaharu AS itu dilihat sebagai ‘tindak balas ketidakupayaan AS memahami bagaimana sistem Iran berfungsi’.

“Idea mengenakan sekatan terhadap Mohammad merupakan satu perkara yang tidak masuk akal,” ujarnya.

Pentadbiran Presiden Donald Trump sebelum ini menyatakan pihaknya akan memutuskan sama ada untuk meluluskan visa perjalanan kepada Mohammad termasuk trip ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berdasarkan keperluan tertentu.

Sumber kerajaan AS pula memaklumkan bahawa Trump bersedia untuk mengadakan rundingan dengan Iran, namun menolak penglibatan Mohammad sebagai pembuat keputusan bagi negara tersebut. – AGENSI.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini