KUALA LUMPUR – Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Tan Sri Mohd. Zaman Khan Rahim Khan, 77, dilaporkan pengsan di Hospital Kuala Lumpur di sini hari ini.
Difahamkan, Zaman Khan berada di hospital terbabit bagi menghadiri temu janji untuk penyakit buah pinggang yang dihidapinya sebelum jatuh pengsan pada pukul 11 pagi.
Susulan itu, doktor telah menempatkannya di Unit Rawatan Rapi (ICU) HKL untuk pemantauan.
Zaman Khan terkenal dengan penglibatannya dalam siasatan kes profil tinggi dan pernah berkhidmat sebagai Ketua JSJ Selangor dari tahun 1975 hingga 1978 dan kemudian sebagai Ketua Polis Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pengarah JSJ dari tahun 1989 hingga 1993 dan bersara sebagai Ketua Pengarah Jabatan Penjara pada tahun 1997. – K! ONLINE











