KUALA LUMPUR – Malaysia mempunyai peluang cerah ke separuh akhir Kejohanan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) Bawah 15 Tahun selepas mengejutkan Australia 3-0, pada saingan Kumpulan B di Chonburi, Thailand, hari ini.
Kemenangan terhadap bekas juara dua kali itu menyaksikan Malaysia mengekalkan rekod tanpa kalah dalam tiga perlawanan untuk mengungguli carta kumpulan dengam maksimum sembilan mata.
Pada perlawanan di Stadium Pendidikan Jasmani itu, Malaysia mencalar rekod bersih Australia apabila Muhammad Daniel Edzuan Mohd Anuar menjaringkan gol pertama seawal minit ketiga menerusi jaringan penalti sebelum Muhammad Nabil Qayyum Zainuddin menghasilkan gol kedua pada minit ke-28.
Pada babak kedua, Muhammad Izrin Ibrahim memperkukuhkan kedudukan Malaysia selepas melakukan jaringan pada minit ke-70, sekali gus mengutip mata penuh.
Australia sebelum ini menewaskan Kemboja 3-1 dan Laos manakala Malaysia membelasah Brunei 8-0 dan menang 2-0 ke atas Kemboja.
Malaysia akan menentang Laos, Sabtu ini sebelum melengkapkan perlawanan kumpulan dengan menentang tuan rumah, Thailand, Isnin ini.
“Kita berhak untuk memenangi perlawanan ke atas Australia memandangkan keazaman dan semangat juang yang ditunjukkan oleh pemain yang sentiasa memberi tekanan kepada pasukan Lawan.
‘Kejayaan ini menunjukkan bahawa kami mencipta peluang baik untuk melakukan jaringan dan kesemua barisan kejurulatihan pasukan amat bangga dengan pemain,” kata ketua jurulatih, P. Maniam.
Malaysia muncul juara pada 2013 di Myanmar selepas mengalahkan Indonesia 3-2 pada final menerusi dalam penentuan penalti selepas terikat 1-1 selepas masa penuh perlawanan. – BERNAMA











