KUALA LUMPUR – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini menegaskan, tiada pemain mereka terlibat dalam pertaruhan bola sepak hingga terjerat dengan perangkap ‘ah long’ seperti yang dilaporkan sebuah portal sukan tempatan.
Presidennya, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria bagaimanapun mengakui, BAM ada membantu serta bekerjasama dengan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dalam beberapa aspek penyiasatan.
“Kami tidak boleh mendedahkan butiran (siasatan).
“Kami ingin menegaskan tiada pemain kami yang menjadi subjek penyelidikan BWF.
“Memandangkan ini penyiasatan yang dijalankan BWF secara berterusan, BAM tidak akan mengulas lagi mengenai perkara itu,” katanya dalam satu kenyataan ringkas hari ini.
Mohamad Norza dalam satu sidang akhbar sebelum itu mengarahkan Jawatankuasa Tatatertib dan Undang-undang BAM menyiasat dakwaan mengenai dua pemain negara disyaki terbabit dalam pertaruhan perlawanan bola sepak sehingga terpaksa meminjam beratus ribu ringgit daripada ‘ah long’.
Katanya, jawatankuasa berkenaan bertanggungjawab melihat sejauh mana keseriusannya laporan portal berkenaan.
“Jawatankuasa Tatatertib dan Undang-undang akan tengok siapa atlet dan tahap masalah itu serta siasat betul ke tidak.
“Kadang-kadang (mungkin) hanya spekulasi,” katanya yang juga Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) selepas mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Sukan SEA Ke-30 di Wisma MOM di sini hari ini.
Portal itu mendakwa, dua pemain berkenaan telah dipanggil BAM dan BWF untuk membantu siasatan kegiatan pertaruhan yang mengakibatkan mereka terhutang beratus-ratus ribu ringgit dan sukar membayar balik. – UTUSAN ONLINE











