Jadikan Tok Bali stesen kargo, penumpang - Utusan Malaysia

Jadikan Tok Bali stesen kargo, penumpang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH 1 Ogos – Kerajaan negeri Kelantan merayu kerajaan pusat untuk membina stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Tok Bali dengan fungsi stesen muatan kargo dan penumpang.

Menteri Besarnya, Datuk Ahmad Yakob berkata, cadangan itu penting, disebabkan Kelantan mempunyai ramai usahawan yang memerlukan perjalanan yang cepat, untuk memasarkan produk masing-masing ke negeri-negeri pantai Barat khususnya ke Kuala Lumpur.

“Laluan baharu sepanjang 15 kilometer dari Tok Bali ke Cherang Tuli sudah pun dikenal pasti bagi pembinaan stesen itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Kelantan di Pantai Bisikan Bayu, di sini, hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Projek ECRL yang sebelum ini ditangguhkan, dilancarkan semula Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook di Tapak Terowong Dungun, Rimba Bandar Bukit Bauk, minggu lepas.

Loke sebelum itu dilaporkan berkata, pelancaran semula ECRL bakal mewujudkan fungsi dan skop yang lebih besar untuk syarikat tempatan memainkan peranan secara aktif dalam projek berkenaan, bermula dari Kota Bharu dan Tok Bali (Kelantan) ke Pelabuhan Klang, sejauh 648 kilomter.

Ahmad Yakob berkata, Perbadanan Pembangunan Tok Bali, yang ditubuhkan kerajaan negeri sejak 14 tahun lalu akan bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan, bagi melicinkan perlaksanaan projek yang berimpak tinggi itu.

“Ini termasuk dalam merangka dasar dan keperluan mendalamkan muara Terusan Semerak, untuk membolehkan kapal yang lebih besar memasuki TB Supply Base Sdn Bhd,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri mempunyai cadangan menaik taraf pusat itu ke tahap sebuah pelabuhan, sejajar dengan pembangunan pesat berikutan perlaksanaan projek-projek ECRL di kawasan terbabit.

Katanya, kerajaan negeri juga mempunyai perancangan jangka panjang dalam usaha menyediakan bekalan makanan yang mencukupi, dengan jumlah peningkatan penduduk yang dijangka bertambah berkali ganda.

Beliau berkata, antaranya memperluaskan lagi tanaman durian kunyit, yang mendapat permintaan tinggi dari dalam dan luar negara terutama dari China.

Katanya,kerajaan negeri telah meluluskan kawasan seluas 1,000 hektar hutan simpan yang ditarik balik kepada sebuah syarikat, yang mengusahakan kopi ‘musang king’ yang menghasilkan pendapatan RM2 juta setahun.- BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini