KUALA LUMPUR 1 Ogos – Sebanyak 230 individu termasuk 20 wanita ditahan sepanjang dua hari Op Bersepadu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak yang berakhir kelmarin.
Memetik portal berita Utusan Borneo, Ketua JSJN Sarawak, Superintenden Sahar Abd Latif berkata, kesemua suspek yang ditahan disyaki terbabit dengan penyalahgunaan dan pengedaran dadah di seluruh negeri ini.
Menurutnya, daripada jumlah tersebut, sebanyak 142 daripada mereka positif dadah.
“Operasi terbabit dijalankan serentak di seluruh negara dan bagi Sarawak, 86 orang ditahan pada 29 Julai yang mana 51 daripada mereka termasuk sembilan wanita positif dadah.
“Manakala hari kedua, 144 orang ditangkap termasuk 11 wanita dan hasil saringan air kencing mendapati 91 daripada mereka positif dadah,” katanya dalam satu kenyataan kepada Utusan Borneo hari ini.
Mengulas lanjut, Sahar memberitahu, sepanjang operasi tersebut pihaknya merampas kira-kira 190 gram dadah jenis syabu dan dua gram ganja.
“Sebanyak 78.07 gram syabu dan 0.65 gram ganja berjaya dirampas pada hari pertama serta 112.33 gram syabu dan 1.68 gram ganja dirampas pada operasi hari kedua,” katanya.
Bercakap mengenai operasi tersebut, Sahar memberitahu, itu adalah usaha memantau, mengesan dan mengekang segala aktiviti pengedaran serta penyalahgunaan dadah.
“Justeru, operasi telah mensasarkan kawasan-kawasan yang telah dikenal pasti sebagai sarang penagih,” jelasnya.
Sahar turut memohon kerjasama orang ramai untuk sentiasa membantu pihaknya membanteras kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah.
“Untuk sebarang maklumat berkaitan dadah, kita mohon orang ramai dapat menyalurkan kepada kita atau boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











