SEPANG 1 Ogos- Setiap usahawan baharu mahupun lama memerlukan platform atau wadah seperti expo perniagaan untuk mempromosi dan memasarkan produk masing-masing.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa Dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail, penganjuran Mini Expo Usahawan (Mexus) misalnya membolehkan usahawan bertemu empat mata dengan 20 jabatan dan agensi yang boleh membantu mereka untuk memperkembangkan perniagaan.
“Fokus untuk Mexus 2019 bukan untuk karnival (berniaga semata-mata) tetapi bertujuan menaikkan taraf penjaja kecil melangkah menjadi usahawan berjaya pada masa depan hasil pertemuan dengan agensi keusahawanan berkaitan.
“Hari ini usahawan tidak perlu bertemu agensi sebalik agensi turun padang bagi memberi peluang untuk usahawan dan bakal usahawan mengintai peluang mendapatkan dana, “katanya semasa berucap merasmikan Mexus 2019 di Kip Mall di sini semalam.
Yang hadir sama ialah, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Mohamed Hanipa Maidin; Ahli Dewan Undangan Negeri Dengkil, Adhif Syan Abdullah dan Pegawai Daerah Sepang, Yazid Sairi.
Rodziah berkata, program turun padang seperti penganjuran Mexus 2019 yang bermula di Sepang akan diadakan di lain-lain daerah di negeri ini.
Katanya lagi, inilah masanya para peniaga sama ada produk perkhidmatan, barangan mahupun makanan dan minuman (F&B) mempromosi perniagaan dan mengintai peluang untuk membina jaringan perniagaan sesama mereka.
“Kita ada dana usahawan seperti Skim Al Hijrah untuk membolehkan mereka meneroka bidang keusahawanan lebih jauh lagi. Contohnya untuk meningkatkan inovasi dan kreatif dalam penghasilan produk.
“Usahawan boleh belajar pemasaran digital dan bisnes atas talian. Kita akan jadikan Mexus sebagai pusat sehenti untuk usahawan seluruh negeri Selangor mempertingkatkan potensi perniagaan mereka, “katanya. – UTUSAN ONLINE











