PUTRAJAYA 1 OGOS – Tahap kesedaran mengenai Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 masih belum memuaskan kerana dalam kalangan pekerja masih takut untuk melaporkan salah laku ketua-ketua mereka, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong.
Beliau berkata, bilangan pemberi maklumat dalam kalangan tujuh agensi penguat kuasa iaitu Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Pengangkutan Jalan, Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia hanyalah 124 kes sejak 2015 hingga April tahun ini.
Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan bengkel ‘Ke Arah Perlindungan Lebih Baik untuk Pemberi Maklumat di Malaysia’ di sini hari ini, Liew berkata, orang ramai perlu dididik bahawa tiada apa yang perlu ditakuti dan pemberi maklumat akan mendapat perlindungan di bawah akta di mana identiti mereka tidak diketahui oleh individu yang dilaporkan dan jabatan mereka.
“Tetapi jika anda menghebohkannya ke serata dunia, maka anda tidak berhak untuk dilindungi (di bawah akta),” katanya apabila ditanya mengenai tindakan individu tertentu yang tidak membuat laporan rasmi kepada pihak berkuasa tetapi sebaliknya menyebarkan maklumat salah laku itu di media sosial.
Beliau berkata, perlindungan berlaku apabila si pemberi maklumat telah memberikan maklumat mengenai salah laku melibatkan orang tertentu.
Ditanya mengenai surat layang, Liew berkata surat layang juga sama seperti memberi maklumat.
“Bukti-bukti dalam surat layang bagaimanapun mungkin tidak diterima oleh mahkamah kerana tiada siapa yang tampil untuk memberitahu agensi apa yang berlaku,” katanya serta menambah, pemberi maklumat perlu tampil ke agensi supaya bukti-bukti itu diterima oleh mahkamah.
“Sekiranya dakwaan itu dalam bentuk surat layang, ia hanya satu khabar angin sahaja. Untuk agensi menghadapkan seseorang ke mahkamah ia bergantung kepada isu sama ada bukti-bukti yang dikemukakan itu boleh diterima atau tidak oleh mahkamah,” tambahnya.
Bengkel dua hari yang bermula hari ini itu dianjurkan bersama oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri dan SPRM dengan sokongan Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC).
Ia bertujuan mengkaji semula dan melaksanakan reformasi terhadap Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.- BERNAMA











