Pacuan empat roda Jabatan Perhutanan Terengganu terbakar - Utusan Malaysia

Pacuan empat roda Jabatan Perhutanan Terengganu terbakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN 1 Ogos – Sebuah kenderaan pacuan empat roda milik Jabatan Perhutanan negeri terbakar dalam kejadian di kilometer 24, Jalan Mak Lagam – Cheneh berhampiran Kampung Lubuk Batu di sini hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Mohd. Haki Hasbullah berkata, kejadian kira-kira pukul 3.15 petang itu berlaku ketika kenderaan jenis Toyota Land Cruiser tersebut dalam perjalanan dari Pejabat Hutan Cheneh ke Pejabat Hutan Chukai.

Bagaimanapun, katanya, tiada mangsa yang cedera dalam insiden tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ketika kejadian kenderaan dipandu Shahrir Bhainuddin, 59, berseorangan.

“Setibanya di tempat kejadian tiba-tiba asap keluar dari bahagian bonet hadapan lalu pemandu memberhentikan kenderaan itu di bahu jalan dan mendapati bahagian enjin berasap dan terus terbakar,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd. Haki berkata, pemandu itu kemudian terus menghubungi talian MERS 999 untuk mendapatkan bantuan dan sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Cheneh bersama sebuah jentera dan kenderaan pacuan empat roda datang memadamkan kebakaran.

Katanya, kenderaan milik Jabatan Perhutanan Negeri itu terbakar seratus peratus dan kes disiasat dibawah Rule 10 LN166/59. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini