ALOR GAJAH – Seorang anggota polis wanita tidak sempat melangsungkan majlis pertunangan bersama pasangannya apabila motosikal dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA) di Paya Emas di sini awal pagi semalam.
Dalam kejadian pukul 3.08 pagi itu, mangsa, Mohamad Hazizee Mahmod, 24, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15Z meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Anggota polis terbabit, Konstabel Norshakira Bahar, 22, bagaimanapun mengalami luka di tangan, badan, serta retak di bahagian atas tumit kaki kanan.
Menurut Norsyakira yang bertugas di Bahagian Pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah Bera, Pahang, mereka berdua merancang untuk melangsungkan majlis itu pada Hari Raya Aidilfitri depan selepas berkenalan lebih empat tahun.
“Kami sebenarnya sedang mengumpul duit untuk melangsungkan majlis pertunangan kerana saya baru sahaja bertugas sebagai anggota polis pada Jun tahun lalu.
“Arwah yang bekerja di sebuah kilang di sini sempat bermain “kutu emas” selama sebulan untuk memberikan saya gelang tangan sebagai persiapan pertunangan kami,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarga Allahyarham Mohamad Hazizee di Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara di sini tadi.
Mengulas lanjut, gadis itu memberitahu sebelum kejadian mereka berdua sempat bersiar-siar bersama-sama dan menemani arwah menikmati nasi goreng di sebuah kedai makan di Pulau Gadong.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, kemalangan berlaku apabila motosikal pasangan itu bergesel dengan sebuah kereta jenis Proton Wira dipandu lelaki berusia 24 tahun.
“Setiba di tempat kejadian, kereta tersebut yang dari arah Bandaraya Melaka ke Sungai Udang telah bergesel dengan motosikal ditunggangi mangsa yang ketika itu berada di lorong kiri.
“Akibat pelanggaran itu, motosikal mereka telah terbabas dan diseret kereta berkenaan ke pembahagi besi kiri jalan.
“Penunggang motosikal kemudian tercampak di bahu kiri jalan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pembonceng dikejarkan ke zon hijau Hospital Melaka,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.
Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE











