KUALA LUMPUR 1 Ogos – Isu sokongan terhadap untuk Tun Dr. Mahathir Mohamad kekal sebagai Perdana Menteri sehingga tamat penggal tidak akan timbul sekiranya Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hadir pada setiap mesyuarat parti.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, dalam mesyuarat PKR telah ditetapkan saranan bahawa sokongan diberikan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri seterusnya iaitu Perdana Menteri kelapan selain perbincangan dengan Tun Mahathir diteruskan.
“Berikan ruang kepada mereka (Dr.Mahathir dan Anwar) dan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menentukan, itu jelas, sebab itu datang mesyuarat, jangan tidak datang dan beri alasan.
“Masalahnya beliau (Mohamed Azmin) tidak masuk mesyuarat, berilah apa alasan pun, mana-mana pemimpin yang tidak hadir mesyuarat lapan kali itu dia hendak apa? apa cerita dia? tolonglah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Dr. Mahathir hari ini menjelaskan bahawa beliau akan meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dalam tempoh dua atau tiga tahun iaitu apabila situasi negara didapati sudah berada dalam keadaan yang baik.
Mohamed Azmin yang juga merupakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi sebelum ini membuat kenyataan mahu Dr. Mahathir terus kekal sebagai Perdana Menteri sehingga habis penggal.
Abdullah Sani yang juga Ahli Parlimen Kapar menegaskan, sebagai seorang menteri Kabinet, Mohamed Azmin sepatutnya menumpukan kepada tugas termasuk dalam aspek membangunkan ekonomi negara dan bukannya menyentuh hal peralihan kuasa yang telah dipersetujui sebelum ini.
“Rakyat mahu lihat semua menteri melaksanakan tugas, bukan untuk pergi ke sana ke sini untuk membodek, sekarang ini masalahnya adalah untuk laksanakan tugas. Setahun ini apakah perkembangan dan pencapaian yang telah dilakukan semua menteri-menteri ini?.
“Ini mahu sibuk, perjanjian itu antara Majlis Presiden PH yang telah dipersetujui dan antara Datuk Seri Anwar dengan Dr. Mahathir.Kita sebagai kumpulan yang melaksanakan program dan dasar PH kena fokus, ini sibuk sahaja, ia sudah dipersetujui, apa lagi? tiada isu pun,” katanya.-UTUSAN ONLINE.











