KUALA LUMPUR 1 Ogos – Demi menyuburkan seni perdebatan dalam kalangan belia, penganjuran Debat Perdana Irshad pada tahun ini diperluaskan lagi dengan penglibatan peserta daripada negara ASEAN.
Pertandingan debat yang berlangsung pada esok hingga 4 Ogos itu dianjurkan oleh Sekolah Agama Menengah Bandar Baru Salak Tinggi (SAMBBST) dan mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak.
Pengarah Teknikal Debat Perdana Irshad, Muhamad Ikmal Jamaluddin berkata, pertandingan itu membuka peluang kepada pelajar sebagai medan ilmu dalam menjana pemikiran kritis.
“Debat ini sendiri sebenarnya mengiktiraf tokoh ilmuwan Islam dalam bidang perdebatan iaitu Imam Hanafi. Justeru, pertandingan ini dilihat sebagai ruang yang mengasah bakat pelajar supaya berfikiran secara kreatif dan kritis melalui seni pengucapan awam.
“Dalam penganjuran pertandingan pada kali ini, kita mendapat penyertaan daripada negara jiran seperti Indonesia dalam menjayakan serta memperkembangkan ilmu perdebatan di antara dua buah negara,” katanya ketika dihubungi Utusan Online di sini hari ini.
Pertandingan tersebut mendapat penyertaan dari Institut Pendidikan Tinggi Awam Malaysia (IPTA) seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas serta IPT Indonesia, Universitas Muhammadiyah Malang (UMM), Sekolah Berasrama Penuh (SBP), dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
Pertandingan yang memasuki edisi kedua itu turut dianjurkan bersama Perunding Pendidikan Pengucapan Awam, Pena Idea Edu Group, Persatuan Penggiat Debat Malaysia dan Komuniti Alumni Debat SAMBBST.
Tambah Ikmal, hadiah akan diberikan kepada tiga pemenang utama serta sepuluh pendebat anugerah terbaik keseluruhan.
Jelasnya, tahun ini juga pihak mereka menampilkan kelainan dengan menambah anugerah baharu yang diberi nama Anugerah Tokoh Imam Hanafi.
“Hadiah wang tunai utama bernilai RM1,500 dan tempat kedua bernilai RM750, malah dijangka bakal meningkat sekiranya terdapat penambahan daripada pihak penaja. Malah, hadiah juga turut disampaikan kepada sepuluh pendebat terbaik keseluruhan dan seorang pendebat terbaik perlawanan akhir.
“Kita perkenalkan satu anugerah baharu yang mana anugerah ini dinamakan anugerah Tokoh Imam Hanafi yang dinamakan sempena mengangkat tokoh ilmuwan Islam dalam ilmu perdebatan,” ujarnya – UTUSAN ONLINE











