YAN – Sekumpulan remaja lelaki yang bermain basikal lajak dalam keadaan berbahaya di Titi Hayun di sini terkejut apabila ditahan polis pada Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan terdapat sekumpulan remaja bermain basikal lajak kira-kira pukul 12 tengah hari.
“Orang awam itu menyatakan perbuatan kumpulan remaja tersebut yang menunggang lebih 50 basikal lajak membahayakan pengguna jalan raya lain di situ,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kata beliau, anggota kereta peronda polis (MPV) dengan dibantu anggota trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Yan dan orang awam pergi ke tempat kejadian dan menahan seramai 10 remaja berusia 12 hingga 20 tahun.
“Remaja lain bertindak melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis,” ujarnya.
Menurut Shahnaz, mereka yang ditahan didapati datang dari kawasan Yan, Gurun, Sungai Tiang dan Merbok dekat sini.
Tambahnya, semua remaja dan basikal lajak dibawa ke IPD Yan dan waris setiap remaja terbabit dipanggil sebelum mereka dibebaskan.
“Basikal lajak disita dan hanya akan diserahkan selepas pemilik membawa bersama peralatan asal basikal yang perlu dipasang semula seperti brek depan dan belakang,” katanya. – K! ONLINE











