KUALA LUMPUR 1 Ogos – Ahli Dewan Negara daripada PKR, Senator Mohamad Imran Abd. Hamid menarik balik cadangannya mewujudkan undang-undang gangguan seksual untuk melindungi golongan lelaki daripada tergoda dan seterusnya terjebak dengan jenayah seperti rogol.
Tindakan itu dibuat menerusi kenyataan beliau hari ini, selepas dikecam ramai pihak dan ditegur oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya memohon maaf kepada semua yang terjejas dengan perbahasan saya kerana mencadangkan diwujudkan akta gangguan seks melindungi golongan lelaki semasa membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Profesion Peguam Syarie pada 31 Julai 2019 di Dewan Negara.
“Walaupun niat saya ikhlas tetapi tidak menjangka ia dilihat kesilapan besar yang telah menyinggung ramai wanita dan tidak kurang juga lelaki kerana dianggap menghina.
“Oleh yang demikian saya mohon jutaan maaf dan menarik balik cadangan yang saya kemukakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Anwar hari ini berkata, PKR menolak cadangan tersebut kerana dilihat tidak munasabah dan menghina golongan wanita.
“Cadangan tersebut juga memberi gambaran bahawa golongan lelaki tidak bermoral dan mudah tergoda hingga boleh terlibat dengan perbuatan keji.
“Adalah lebih molek sekiranya kita memfokuskan terhadap agenda memartabatkan wanita dengan memperkasa undang-undang dalam menolak sebarang serangan seksual terhadap mereka,” katanya dalam kenyataan.
Dalam perbahasan Dewan Negara semalam, Mohamad Imran mencadangkan undang-undang tersebut supaya golongan lelaki ‘selamat’ dan seterusnya ‘negara menjadi aman’.-UTUSAN ONLINE











