Nelayan tempatan sokong bot warga asing dilupuskan - Utusan Malaysia

Nelayan tempatan sokong bot warga asing dilupuskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Nelayan tempatan memberi sokongan penuh terhadap langkah kerajaan untuk melupuskan bot-bot nelayan asing yang dirampas lantaran sebahagian mereka pernah berdepan ancaman serta provokasi yang mengancam nyawa dan periuk nasi.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Kemaman, Aziz A. Razak (Gambar kecil) mendakwa, nyawanya bagai di hujung tanduk apabila nelayan asing mengacukan senjata api kepada mereka dalam satu kejadian di siang hari pada dua tahun lalu.

“Bot mereka telah melanggar pukat saya, jadi saya cuba memohon mereka untuk beredar dari situ, akan tetapi mereka bersikap kurang ajar dan mengugut kami dengan senjata api serta parang. Bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini, kami terpaksa mengalah dan beredar dari situ.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Atas sebab itulah kami para nelayan sebulat suara bersetuju dengan tindakan tersebut bagi mengekang kehadiran bot nelayan asing yang giat menjarah dan meragut sumber perikanan di perairan kita. Saya berharap penguatkuasaan perlu ditegaskan kerana sudah berkali-kali kami membuat aduan tetapi tiada tindakan,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! Online hari ini.

Tambah Aziz lagi, bot nelayan asing itu memang perlu dilupuskan kerana sebelum ini, setiap pesalah daripada kalangan mereka hanya ditangkap dan dikenakan kompaun, namun bot tersebut tidak disentuh.

“Sebab itu mereka masih berani menceroboh semula. Selepas dikompaun, buat balik. Begitulah seterusnya.

“Kerajaan perlu mencontohi Indonesia yang begitu tegas dalam penguatkuasaan perairan dengan mengebom terus bot penceroboh. Hasilnya, sumber perikanan di sana kembali meningkat,” luah Aziz lagi.

Kosmo! hari ini melaporkan, kesediaan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MoA) dalam proses perbincangan akhir bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) tentang cara melupuskan bot-bot nelayan asing yang dirampas kerana menangkap ikan di perairan negara.

Sementara itu, seorang nelayan tradisi di Teluk Senangin, Perak, Mohd. Radhi Hashim, 47 berkata, dia percaya langkah tersebut merupakan satu cara terbaik untuk memastikan bekalan makanan laut negara berada dalam paras yang mencukupi dan mampan.

“Bagi saya, tindakan itu berkesan kerana walaupun undang-undang negara kita agak ketat, tetapi di peringkat perlaksanaan, kita kurang tegas dan masih ada budi bicara. Sebab itu pencerobohan masih berlaku.

“Misalnya di kawasan zon A yang khas untuk nelayan tradisi, perairan kami diceroboh oleh bot tempatan dari zon B yang mengupah nelayan asing, dipercayai dari Vietnam untuk menangkap ikan pada waktu malam. Itu pun satu masalah besar buat kami,” jelasnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini