52 mohon gugur bin, binti dalam kad pengenalan - Utusan Malaysia

52 mohon gugur bin, binti dalam kad pengenalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 1 Ogos – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah menerima kira-kira 52 permohonan pindaan butiran bagi menggugurkan bin atau binti dalam kad pengenalan sepanjang 2018 sehingga 31 Mei 2019.

Berdasarkan jumlah tersebut, 19 permohonan diterima tahun lalu manakala bagi tahun 2019 sebanyak 33 permohonan telah direkodkan setakat ini.

“Permohonan pertukaran nama dan pembetulan maklumat dalam, kad pengenalan adalah berdasarkan Peraturan 14, Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Antara alasan yang sering diberikan oleh pemohon bagi tujuan tersebut adalah bagi memudahkan urusan mereka yang tinggal diluar negara. Majoriti permohonan adalah dari mereka yang telah memilih sebagai penduduk tetap di negara lain,” jelas JPN menerusi kenyataan kepada Utusan Online.

Dalam pada itu, kenyataan tersebut turut menjelaskan, kelulusan yang diberikan adalah berdasarkan arahan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, iaitu pemohon mestilah mengemukakan dokumen-dokumen rasmi kerajaan yang sewajarnya.

Ia bagi membuktikan dan menyokong permohonan untuk menggugurkan nama membuang nasab bin atau binti selaras dengan punca kuasa jabatan.

“Sekiranya terdapat permohonan yang tidak dibenarkan ia disebabkan kegagalan pemohonon untuk mengemukakan dokumen-dokumen sokongan yang diperlukan.

“Contoh dokumen rasmi kerajaan yang perlu dikemukakan ialah kad kuasa polis/tentera, kad pesara atau pasport antarabangsa yang membuktikan nama tanpa nasab tersebut telah digunakan,” katanya.

Sementara itu, JPN mengingatkan kepada pemohon mengenai risiko kesukaran untuk mendapatkan visa bagi mengerjakan haji dan umrah jika bin dan binti digugurkan daripada nama asal.

“Apabila telah digugurkan, penggunaan nama asal semula adalah tidak dibenarkan berdasarkan pengisytiharan dalam Surat Akuan Berkanun,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini