LAS VEGAS – Jurulatih peribadi Manny Pacquiao, Freddie Roach mengakui petinju sensasi Amerika Syarikat (AS), Floyd Mayweather tidak berani menyahut cabaran untuk kembali daripada persaraan kerana takut dengan kelibat anak buahnya.
Sebagai rekod, Pacquaio berjaya mempamerkan aksi dalam kelas tersendiri apabila menewaskan Keith Thurman untuk memenangi gelaran Kejuaraan Super Welterweight WBA di Las Vegas pada 21 Julai lalu.
Susulan itu, Roach percaya aksi luar biasa yang dipamerkan oleh Pacquiao membuatkan Mayweather gusar untuk menerima pelawaan jaguh tinju Filipina itu yang mahu pertarungan kedua dengannya sejak pertemuan terakhir pada tahun 2015.
“Meskipun Mayweather hadir pada pertarungan Pacquiao-Thurman, namun saya perhatikan dia tidak menunggu sehingga tamat pertarungan dan ia mungkin petanda bahawa dia takut dengan prestasi ditunjukkan oleh Pacquiao.
“Saya percaya Pacquiao telah mempamerkan aksi cukup sempurna sehingga membuatkan Mayweather berfikir sama ada mahu menerima pelawaan untuk pertarungan ulangan atau sebaliknya,” kata Roach.
Mayweather sebelum ini mengumumkan persaraan daripada pentas tinju profesional pada tahun 2015 dengan rekod tanpa kalah 49-0 dalam kariernya.
Namun, Mayweather sering memberi bayangan untuk kembali ke gelanggang tinju kompetitif meskipun sudah menyertai dua pertarungan pertunjukan ketika menewaskan jaguh Conor McGregor pada tahun 2017 dan Tenshin Nakamura (2018). – Agensi











