KUALA LUMPUR 31 Julai – Alam Perkasa Consortium (APC) yang dilaporkan antara pembida Projek Kereta Nasional Baharu (NNCP) sedang menunggu lampu hijau daripada kerajaan untuk menunjukkan prototaip yang sudah bersedia.
Memetik laporan The Edge, APC merancang menghasilkan kenderaan utiliti sukan (SUV) saiz sederhana yang dinamakan sebagai Alif. Konsep Alif direka oleh pereka kereta Itali terkenal, Giorgetto Giugiaro dan anak beliau, Fabrizio.
Pengerusi Eksekutif Alam Perkasa Group, Mohamad Mansor Ngah berkata, konsortium itu bersedia untuk bertindak dan tidak memerlukan dana awam untuk memulakan syarikat cadangan Malaysian International Motor Company (MIMCO).
Beliau yang akan mengetuai konsortium berkenaan memberitahu, pihaknya telah menyediakan kira-kira RM5 bilion dalam pembiayaan peribadi.
“Jika APC menerima lampu hijau, kami akan bersedia dengan prototaip pertama dalam tempoh enam bulan dan boleh dipamerkan pada Pameran Motor Antarabangsa Geneva 2019 (GIMS) yang dijadualkan pada 5 Mac hingga 15 Mac 2020.
“Ia akan menjadi kali kedua kenderaan Malaysia dipaparkan pada majlis itu,” katanya sambil menambah bahawa APC telah memiliki slot dalam pameran tersebut.
Kali pertama kereta Malaysia dipamerkan pada GIMS 2010 iaitu Proton Emas, prototaip kereta hibrid yang mana Mohamad Mansor terlibat dalam penciptaan meskipun penghasilan komersial tidak diteruskan.
Mohamad Mansor turut terlibat dalam mereka bentuk Proton Prevé dan Proton Artiga.
Pada Mac lalu, sebanyak dua pembuat kereta telah disenarai pendek untuk menerajui projek berkenaan yang dicetuskan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Beliau berkata, Giugiaros adalah sebahagian daripada konsortium itu, bersama-sama dengan pengeluar bahan komposit Itali terkemuka yang enggan dikenal pasti buat masa ini.
“Bergantung kepada varian, Alif direka untuk mencapai kelajuan tertinggi 230 kilometer sejam (km/j) dengan jarak pemanduan 450 km dikuasakan oleh bateri 95kWh.
“Berdasarkan pelan perniagaan kami, kumpulan menyasarkan perolehan kira-kira RM14 bilion dengan jualan 60,000 buah Alif setahun,” katanya.
Ujarnya lagi, pendedahan di GIMS akan memudahkan pelancaran jenama kereta nasional ketiga di pasaran global dan meningkatkan inisiatif pemasaran terutamanya di Eropah.
“Pasaran tempatan untuk hibrid dan kenderaan elektrik (EV) adalah kecil pada masa ini, jadi kami akan mengeksport 80 peratus kenderaan terutamanya ke Eropah dan Amerika Syarikat (AS) supaya boleh bersaing dalam industri auto global dan tidak menjadi ‘jaguh kampung’ semata-mata,” katanya.










