IHH tambah baik struktur kos Fortis - Utusan Malaysia

IHH tambah baik struktur kos Fortis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 31 Julai – IHH Healthcare Berhad (IHH) memberi tumpuan kepada penyelarasan struktur kos yang lebih baik bagi memboleh­kan Fortis Healthcare Limited (Fortis) meningkatkan daya saing, kecekapan operasi serta keuntungan pada masa depan.

Ketua Perancangan Strategik dan Pembangunan Perniagaan Kumpulan IHH, Dr. Chan Boon Kheng berkata, prestasi Fortis dalam beberapa tahun kebelakangan ini tidak begitu memberangsangkan kerana menca­tatkan penyusutan pendapatan selain gagal mengawal kos sekali gus menjejaskan keuntungan sebelum cukai, faedah, susut nilai dan pelunasan (EBITDA).

Tambahnya, Fortis turut membayar yuran amanah perniagaan (business trust) yang tinggi yang mana ia mengakibatkan masalah aliran tunai selain menjejaskan keuntungan syarikat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kunci kepada pelaburan kami ialah Fortis memerlukan modal dan ekuiti baharu. Kami tidak hanya membeli saham di pasaran pada nilai 4,000 kror (RM2.4 bilion) semata-mata, tetapi turut menyuntik jumlah ini ke dalam syarikat dan menerbitkan saham baharu.

“Langkah tersebut sangat signifikan yang mana kami boleh menebus semula struktur amanah perniagaan di samping mendapatkan semua yuran yang telah mengalir keluar daripada syarikat sebelum ini. Ini merupakan bahagian terpenting dalam meningkatkan keuntungan,” kata­nya kepada pemberita pada sesi lawatan media ke kemudahan Fortis di New Delhi baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Fortis, Dr. R. Ashutosh.

IHH merupakan pemegang saham terbesar dalam Fortis dengan pegangan sebanyak 31 peratus.

Boon Kheng berkata, sebelum IHH membeli kepenti­ngan dalam Fortis, syarikat itu berdepan dengan tekanan kewangan yang ekstrem kerana terpaksa membayar kadar faedah yang tinggi.

Bagaimanapun katanya, kos pinjaman menunjukkan kemajuan yang ketara selepas IHH mengambil alih melalui penambahbaikan dalam kunci kira-kira syarikat.

“Seperti yang semua tahu pihak bank akan memberikan kadar faedah yang bagus apabila perjalanan operasi syarikat berjalan lancar dan keadaan sebaliknya berlaku jika prestasi merosot. Dengan kunci kira-kira yang semakin baik, kami dapat mengurangkan kadar faedah sehingga empat hingga lima peratus.

“Saya fikir dengan suntikan dana baharu, kunci kira-kira dan kedudukan kredit yang le­bih baik sangat membantu dalam menurunkan kos pinjaman sekali gus membantu memperbaiki aliran tunai serta mempercepatkan keuntungan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini