Setiap orang yang terlihat dalam dunia pelaburan saham sudah tentu ingin berjaya dalam bidang pelaburan atau perdagangan saham. Pelabur dan pedagang saham mempunyai impian untuk sentiasa meraih pulangan pelaburan.
Namun, apakan daya, impian serta harapan tidak kesampaian seperti direncanakan, justeru, Cikgu Saham ingin membantu para pelabur atau pedagang baharu untuk mempunyai strategi atau perancangan agar dapat mengharungi segala kesukaran yang bakal atau sedang dihadapi.
Membeli saham berpotensi naik
Pelabur dan pedagang saham perlu membeli saham syarikat tersenarai yang mempunyai potensi naik pada masa hadapan. Dengan kenaikan harga saham syarikat tersenarai ini memberi pulangan kepada modal pelaburan.
Simpan saham dibeli sehingga harga naik
Pelabur perlu mempunyai kesabaran untuk menunggu harga saham syarikat tersenarai yang dibeli itu naik. Kadangkala terdapat saham syarikat tersenarai yang harganya bergerak naik selepas setahun ia disimpan.
Buat kajian atau analisis saham
Membiasakan diri membuat kajian atau analisis saham sebelum membuat keputusan beli dan juga jual. Kebiasaannya pada ketika mula-mula membuat kajian saham syarikat-syarikat tersenarai, kita telah mempunyai pengetahuan tentang harga yang ingin dibeli termasuk harga jual sekali.
Tidak gunakan kesemua modal pelaburan
Membuat pecahan modal dan membuat pembelian saham secara berperingkat dan bukannya sekali gus. Ini juga termasuk semasa menjual.
Keluarkan keuntungan dan asingkan
Sesetengah orang berpendapat untuk menyimpan kesemua keuntungan yang dibuat agar modal pelaburan menjadi semakin besar dengan mencampurkan segala keuntungan yang dijana.
Pelabur juga dapat membeli semakin banyak saham syarikat tersenarai kerana modal telah berkembang. Tetapi perlu diingatkan sekiranya modal semakin bertambah ia juga akan mengakibatkan terdedahnya kepada risiko kerugian yang lebih besar berbanding jika menggunakan modal asal sedia ada.
Bayar zakat saham bagi pelabur muslim
Tidak perlu menunggu sehingga setahun untuk membayar zakat saham sekiranya memperoleh keuntungan lumayan pada satu transaksi beli dan jual saham. Pernah terjadi yang mana pelabur memperoleh keuntungan saham berpuluh malah beratus ribu membeli hanya satu saham syarikat tersenarai sahaja. Pelabur yang meraih keuntungan besar tidak salah jika menyegerakan pembayaran zakat setakat keuntungan saham itu sahaja dan modal pelaburan boleh dibayar zakat apabila cukup nisab.
Berdisiplin setelah menjual saham
Menjadikan amalan agar membeli saham yang lain setelah menjual saham dipegang. Jangan membuat pembelian saham melebihi modal yang ada walaupun semasa pasaran bullish atau dalam keadaan menaik.
Memasuki pasaran ketika bersedia dan tenang
Menjaga prinsip atau perancangan pelaburan untuk masuk pasaran pada waktu-waktu yang sesuai sahaja. Menahan diri untuk masuk pasaran sesuka hati kerana pasaran tidak naik setiap hari. Ada masa-masa yang mana pasaran mengalami kejatuhan panjang.
Memasuki pasaran bila ada peluang
Membeli dan menjual saham mengikut sentimen pasaran. Sekiranya tiba-tiba pasaran jatuh, buat keputusan dengan segera lebih-lebih lagi dalam keadaan yang mana saham di dalam portfolio pelaburan berada dalam keadaan positif atau modal pelaburan telah meningkat.
Membeli saham pada harga mampu beli
Memberi keutamaan pada harga saham syarikat tersenarai yang murah dahulu di bawah lingkungan harga lima puluh sen ke bawah lebih-lebih lagi pelabur bermodal kecil.
Tindakan ikut keadaan dan sentimen
Sekiranya sentimen pasaran tidak memberangsangkan dan diselubungi banyak pemangkin negatif, ambil pendekatan tunggu dan lihat atau berdiam diri. Tunggu sehingga suasana kembali pulih atau pasaran akan bergerak naik untuk membuat pembelian saham terpilih.
Jangan sesekali bersandar pada pendapat orang lain atau rakan-rakan yang tidak arif atau kurang pengalaman untuk meminta nasihat atau pendapat berkenaan portfolio pelaburan anda. Sentiasa merujuk kepada saluran yang betul kerana kesilapan mendapatkan maklumat yang salah boleh mengakibatkan kerugian besar.
Mengambil pendekatan untuk membelanjakan wang hasil daripada keuntungan saham selain menyimpan setiap kali memperolehi keuntungan. Ia bertindak sebagai pemangkin semangat untuk berusaha lagi membuat keuntungan pada masa hadapan.
Juga, dengan berbelanja dapat membantu meningkatkan ekonomi negara dengan adanya kepesatan aliran keluar masuk wang di dalam negara.
Kepada yang ingin mempelajari tentang ilmu pelaburan saham, sila hubungi talian 019-2352037.










