LONDON – Jurgen Klopp tidak menolak kemungkinan Mohamed Salah dan Roberto Firmino akan diturunkan dalam kesebelasan utama menentang Manchester City selepas kedua-dua pemain tersebut bertindak cemerlang membantu Liverpool mendapatkan corak permainan yang menarik.
Liverpool berdepan kesukaran untuk mendapatkan rentak permainan ketika pra musim namun selepas tiga kekalahan dan satu seri dalam empat perlawanan, The Reds kembali tajam apabila menewaskan Lyon 3-1 di Switzerland, terima kasih kepada Salah dan Firmino yang mengetuai jentera serangan.
Kedua-dua pemain tersebut menyertai kem latihan The Reds pada Isnin lalu selepas tamat musim cuti panas dan hanya sempat berlatih empat sesi bersama Liverpool namun kehadiran mereka memberi impak besar sekali gus membuatkan Klopp dalam dilema menjelang Piala Perisai bertemu City.
“Kami akan lihat macam mana reaksi mereka. Latihan sekarang bukan berkaitan intensiti tetapi lebih kepada terperinci. Kami perlu bersedia. Manchester City berbeza daripada kesemua perlawanan ini. Penting untuk pemain mendapatkan bentuk fizikal terbaik.
“Daripada sudut psikologi pula, tewas dalam perlawanan sukar untuk diterima jadi saya gembira kerana kami dapat mengubahnya. Saya gembira namun saya tahu kami sepatutnya bermain dengan lebih baik ketika menentang City,” kata bos The Reds, Klopp.
Ketika ditanya barisan pemain yang dijangka akan menentang City di Wembley pada 4 Ogos ini, Klopp masih belum dapat memberi jawapan.
“Bergantung kepada keadaan. Saya tidak cakap 100 peratus mereka tidak akan bermain tetap ada peluang untuk mereka,” katanya. – AGENSI










