KUALA LUMPUR 1 Ogos – Polis menahan dua beradik selepas mereka dipercayai mencuri peralatan pili bomba di Taman Desa Wira, Batu Kawa, Padawan, Sarawak semalam.
Kedua-dua beradik berusia 18 dan 24 tahun itu ditahan kira-kira pukul 4.30 petang di sebuah rumah di Kampung Segedup, Batu Kawa, Sarawak.
Tangkapan itu dilakukan susulan satu rakaman video tular memaparkan perbuatan dua beradik terbabit yang menaiki motosikal membawa hasil curi tersebut.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Aidil Bolhassan berkata, selain dua suspek itu, pihaknya turut menahan seorang lelaki berusia 42 tahun iaitu pemilik kedai besi buruk yang membeli penutup pili bomba yang dicuri dua beradik terbabit.
“Kedua-dua suspek mengaku mencuri dan menjual penutup ‘chamber’ serta ‘pillar’ pili bomba di sebuah kedai besi buruk di Jalan Kong Ping, Batu Kawa dengan harga RM25.80.
“Selain itu, mereka juga mengaku terbabit dalam penyalahgunaan dadah jenis syabu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Aidil, sebuah motosikal jenis Modenas Kriss, dua buah topi keledar, dua helai baju yang dipakai mereka ketika mencuri peralatan bomba dan satu tukul besi dirampas.
Ujarnya, kedua-dua suspek dibawa ke mahkamah hari ini untuk permohonan reman dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Khirudin Drahman berkata, sebanyak 4,928 pili bomba rosak akibat perbuatan vandalisme dan kecurian di seluruh Sarawak dalam tempoh Januari hingga 31 Julai tahun ini.
Tambahnya, tindakan vandalisme itu menyebabkan 625 batu tanda pili bomba dan tiang pili bomba patah.- UTUSAN ONLINE










