KOTA BHARU 1 Ogos – Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyita 3,226 unit tong gas petroleum cecair pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM193,782 dalam satu operasi di Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa dekat sini semalam.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP negeri Azanizam Affendi Juri berkata, rampasan pada pukul 9 pagi itu adalah hasil maklumat risikan yang dijalankan selama seminggu oleh pihaknya sebelum ini.
Menurutnnya, hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati pemilik premis itu telah melanggar peruntukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memindahkan barang kawalan di tempat yang tidak dilesenkan.
“Kita akan siasat kes ini dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Jika disabit kesalahan boleh dihukum dibawah Seksyen 22 Akta yang sama iaitu bagi individu boleh didenda sehingga RM1,000,000.00 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau bagi pertubuhan perbadanan boleh didenda sehingga RM 2,000,000.00,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Azanizam memberitahu, kejayaan itu menyemarakan lagi semangat pihaknya untuk terus melipat gandakan operasi bagi mengekang sebarang aktiviti yang menyalahi peraturan KPDNHEP.
Katanya, KPDNHEP negeri ini tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar peraturan. – UTUSAN ONLINE










