NEW DELHI 29 Julai- Seorang remaja perempuan yang mendakwa dirogol oleh seorang ahli politik daripada parti pimpinan Perdana Menteri India, Narendra Modi, dilaporkan berada dalam keadaan kritikal selepas terlibat dalam nahas jalan raya yang membunuh dua ahli keluarga di Uttar Pradesh, di sini semalam.
Peguam mangsa yang turut berada dalam kereta itu turut mengalami kecederaan.
AFP melaporkan insiden itu mencetus persoalan kemungkinan nahas itu sesuatu yang dirancang.
Ketua Polis Negeri, O.P. Singh memberitahu, pihaknya menahan pemandu lori yang mengakibatkan kemalangan itu untuk disoal siasat.
Mangsa yang berusia 19 tahun sebelum ini mendakwa dirinya dirogol oleh Kuldeep Singh Sengar, namun polis tidak mengambil sebarang tindakan lanjut ke atas ahli politik itu. -AFP











