LONDON – Khabar angin mengatakan Bruno Fernandes akan menyertai Manchester United semakin kencang apabila dia menitiskan air matanya ketika Sporting Lisbon bertemu Valencia dan ada kemungkinan itu bakal menjadi perlawanan terakhirnya.
Pemain yang menjadi sasaran United itu menitiskan air matanya ketika kedua-dua pasukan tersebut beraksi dalam perlawanan persahabatan yang menyaksikan Sporting Lisbon tewas 1-2.
Selepas tamat perlawanan, Fernandes berdiri di tengah padang dikelilingi rakan-rakannya dan pada ketika itu dia sudah tidak dapat menahan kesedihannya.
Ramai mengesyaki tangisan itu menjadi petanda perpindahan Fernandes ke Old Trafford yang bernilai 56 juta pound (RM285 juta) memandangkan bos United, Ole Gunnar Solskjaer mahu memperkuatkan pasukan di bahagian tengah.
Pemain tengah itu menjaringkan 32 gol selain mencipta 18 gerakan gol pada musim lalu sekali gus mencuri perhatian United. – AGENSI











