GEORGE TOWN – Polis berjaya menyelesaikan sebanyak 18 kes berhubung kegiatan curi kenderaan di sekitar daerah Seberang Perai Tengah dan Barat Daya di negeri ini selepas menangkap enam individu dalam serbuan di Kedah pada 18 Julai lalu.
Suspek ahli kumpulan Geng Ah Heng berusia 20-an hingga 60-an itu ditahan dalam beberapa serbuan di kawasan Alor Setar dan Changlun.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Zainol Samah berkata, pihaknya menggerakkan Op Lejang Industri selepas seorang wanita yang baharu membeli kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux melaporkan kehilangan kenderaan itu di Zon Perindustrian Bebas 2, Perai pada April lalu.
Beliau berkata, mereka yang ditahan antaranya adalah tukang cat kereta, orang tengah dan pembeli kereta yang menghantar kenderaan curi ke Danok di Selatan Thailand melalui sempadan Bukit Kayu Hitam, Kedah bagi dijual pada harga serendah RM20,000 sebuah.
“Siasatan mendapati, suspek menyasarkan kereta jenama Honda dan Toyota yang baharu didaftarkan serta yang menggunakan sistem butang penghidup bagi menghidupkan enjin.
“Suspek yang aktif sejak awal tahun ini didapati menjalankan kegiatan itu pada waktu siang di kawasan perindustrian di sekitar Perai dan Bayan Baru dengan mengambil masa kira-kira 10 minit untuk menghidupkan enjin” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini hari ini.
Zainol berkata, pihaknya turut merampas sebanyak lima buah kenderaan serta beberapa peralatan dipercayai bagi melakukan kegiatan itu yang keseluruhannya bernilai RM530,000.
“Antaranya ialah masing-masing sebuah pacuan empat roda Toyota Hilux, kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda CRV dan kereta Honda City serta dua buah kereta Honda Civic.
“Selain itu, polis merampas alat jammer, pemprogram kunci pintar, master key, cukai jalan palsu, pelbagai nombor plat palsu, kad Touch N Go bersama Smart Tag, komputer riba dan tablet jenama Samsung” katanya lagi.
Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan. – K! ONLINE











