30 anggota polis ditahan terlibat dadah tahun ini - KPN - Utusan Malaysia

30 anggota polis ditahan terlibat dadah tahun ini – KPN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 29 Julai – Kira-kira 30 warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditahan kerana terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah sejak awal tahun ini.

Perkara itu didedahkan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador yang turut menegaskan setiap minggu ada sahaja anggotanya yang ditahan kerana mengambil dadah terutamanya syabu.

“Jika kita tidak membendung aktiviti penyalahgunaan dadah ini sekarang, tidak mustahil negara kita akan menjadi seperti Colombia.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jumlah penagih dadah semakin meningkat. Orang saya sendiri (anggota PDRM) ditahan setiap minggu kerana terlibat pengambilan syabu. Tindakan tegas telah diambil terhadap mereka kerana jika warga PDRM sendiri tidak ‘bersih,’ bagaimana kita mahu membanteras aktiviti ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Jerayawara Austisme: Garis Panduan PDRM di Maktab PDRM, di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Urus Setia KPN (Penyelidikan dan Pembangunan), Datuk Ramli Din.

Dalam majlis tersebut, Abdul Hamid memaklumkan seluruh warga PDRM perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dalam menangani kes melibatkan individu autisme dan lain-lain kelainan upaya termasuk Down Syndrome.

Selain itu, Abdul Hamid memberitahu sebuah pusat autisme akan ditubuhkan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur menjelang Januari tahun hadapan menerusi kerjasama tiga agensi iaitu Yayasan Pengaman Malaysia, Genius Kurnia di bawah Kementerian Pendidikan bersama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini