KUALA LUMPUR 29 Julai – Wakil Malaysia ke Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR), Eric Paulsen merayu kepada kerajaan Singapura untuk menghentikan hukuman mati yang akan dijalankan kepada banduan di sana.
“Saya merujuk kepada pelaksanaan hukuman mati sekurang-kurangnya sepuluh banduan di Singapura, yang dinafikan hak rayuan pada bulan ini dan empat daripadanya adalah warganegara Malaysia.
“Empat rakyat Malaysia yang petisyen rayuannya ditolak sedang menghadapi pelaksanaan hukuman berkenaan kesalahan berkaitan dadah.
“Walaupun kesan dadah terhadap masyarakat tidak dapat dinafikan, tahanan ini adalah keldai dadah yang ditipu atau ditekan oleh sindiket dadah yang tidak disentuh oleh undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Keempat-empat rakyat Malaysia yang akan menjalani hukuman itu adalah K. Datchinamurthy, A. Gobi, Abdul Helmi Ab. Halim dan seorang lagi yang dikenali sebagai Rahmat. – UTUSAN ONLINE











