KLANG – Orang ramai yang datang untuk mendapatkan rawatan di sebuah klinik pergigian kerajaan di Jalan Tengku Kelana di sini dikejutkan dengan kehadiran ular sawa sepanjang 0.5 meter di dalam premis itu, hari ini.
Kehadiran reptilia itu disedari oleh kakitangan klinik berkenaan kira-kira pukul 7.40 pagi sebelum memaklumkan kejadian tersebut kepada pihak bomba.
Difahamkan ketika kejadian, terdapat beberapa orang pesakit yang sedang menunggu giliran untuk mendapatkan rawatan di klinik.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Klang, Samsol Maarif Saibani berkata, seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Raja bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 7.43 pagi.
“Setibanya di lokasi, didapati terdapat seekor ular sawa sepanjang 0.5 meter di dalam premis terbabit.
“Anggota kemudiannya menggunakan peralatan khas untuk menangkap ular terbabit. Reptilia berkenaan berjaya ditangkap dalam tempoh hampir 15 minit,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.
Samsol Maarif menjelaskan haiwan berkenaan kemudiannya dilepaskan di kawasan yang selamat. – K! ONLINE











