KUALA LUMPUR 29 Julai – Seorang lelaki yang sedang menjamu selera bersama adiknya di sebuah kedai mamak cedera di bahagian kepala, muka dan badan selepas dipukul sekumpulan lelaki dalam kejadian di Kepong Baru, di sini semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul. Superintenden Heisham Harun berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 1.01 pagi ketika mangsa sedang makan di kedai mamak ‘Pokok Besar’.
“Lebih kurang 10 lelaki tempatan telah memukul mangsa bersama adiknya dengan menggunakan senjata ‘foxlock’, kerusi dan beberapa senjata lain.
“Akibat kejadian itu, mangsa bersama adiknya mengalami kecederaan di bahagian kepala, muka dan badan sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Selayang,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya, usaha mengesan kesemua suspek sedang dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE











