KUALA LUMPUR 29 Julai – Pemuda MCA menyelar tindakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang didapati terus menabur fitnah dan membuat kenyataan berbaur hasutan terhadap parti itu.
Baru-baru ini, lima fitnah yang ditaburkan Guan Eng termasuk MCA mahu menghapuskan sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC).
Pengerusi Biro Perundangannya, Ryan Ho Kwok Xheng berkata, amat tidak mengejutkan jika Guan Eng membuat kenyataan menghasut kerana Pakatan Harapan (PH) berjaya menjadi kerajaan berdasarkan penipuan dan janji palsu.
Beliau malah memberitahu, sepertimana yang pernah dibuktikan, Ahli Parlimen Bagan itu tidak layak sebagai Menteri Kewangan kerana tidak mampu mengira dengan betul.
“MCA sentiasa konsisten mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan hak asasi semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama.
“Selama lebih 60 tahun, MCA telah membuktikan melalui kelakuan kami dan bukannya hanya janji-janji kosong bahawa kami akan sentiasa mempertahankan hak semua rakyat dan membantah ketidakadilan terhadap rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Pemuda MCA mengecam kenyataan Guan Eng yang dibuat semasa Konvensyen Kelab Veteran DAP Kebangsaan Kelima baru-baru ini di mana beliau memfitnah dan menghina MCA.
Lima fitnah atau hasutan Guan Eng ialah MCA mengubah namanya kepada ‘Malaysian Corruption Assiociatin, MCA tidak mengendahkan isu 1Malaysia Development Bhd. (1MDB);MCA menyokong ekstremisme; MCA mahu menghapuskan hak asas bukan Islam dan MCA mahu menghapuskan SJKC.
Tambah Ryan, pencapaian SJKC hari ini adalah hasil usaha dan sumbangan MCA dan Barisan Nasional (BN).
Katanya, hanya selepas PH menjadi kerajaan barulah SJKC diserang dan diancam.
“Malah, ahli parti DAP, Teo Nie Ching yang juga Timbalan Menteri Pendidikan telah mewajibkan pelajaran membaca dan menulis Jawi di semua sekolah. Oleh itu, siapakah sekarang yang mahu menghapuskan sekolah vernakular? DAP atau MCA?,” soalnya.
Ryan memberitahu lagi, mengenai isu rasuah, ia amat memalukan apabila Guan Eng sebagai seorang menteri kanan sengaja tidak mengendahkan peruntukan undang-undang apabila cuba mempengaruhi pendapat umum mengenai perbicaraan isu SRC International dan 1MDB yang sedang berlangsung dan bukannya membiarkannya kepada hakim untuk membuat keputusan.
MCA, katanya, sentiasa berpendirian bahawa sesiapun yang didakwa membuat rasuah tanpa kira dari BN atau PH, haruslah melalui proses undang-undang dan jika didapati bersalah, harus dikenakan hukuman sepertimana yang tertakluk dalam undang-undang.
“Kami menasihati Guan Eng membuat penyelidikan terlebih dahulu, supaya dapat lihat sendiri bagaimana MCA telah menentang semua dakwaan rasuah, termasuk isu 1MDB.
“Sebaliknya, Guan Eng pula digesa menjawab kes dakwaan rasuahnya sendiri yang telah digugurkan. Pembelian rumah banglo dibawah harga pasaran? Bayaran RM 305 juta ‘kajian kebolehlaksanaan’ untuk projek terowong yang masih belum bermula pembinaannya?, katanya. -UTUSAN ONLINE











