KLANG – Tindakan sebuah bot nelayan melakukan kegiatan ‘tarik tepi’ menangkap ikan membawa padah selepas ditahan pada jarak lebih kurang 3.9 batu nautika dari Sungai Terap di sini malam tadi.
Dalam kejadian pukul 9.30 malam, empat nelayan warga tempatan yang dicekup berusia 45 hingga 61 tahun.
Pengarah Maritim Malaysia (APMM) Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim, bot nelayan kelas B itu didapati menunda pukat di kawasan tidak dibenarkan iaitu di bawah 5 batu nautika dari pesisir pantai.
Katanya, aktiviti tersebut juga dikenali sebagai ‘tarik tepi’ di kalangan nelayan.
“Hasil pemeriksaan, kita menemui 20 kilogram pelbagai jenis ikan di dalam bot tersebut.
“Kesemua suspek dan bot tersebut dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin untuk siasatan lanjut di bawah Akta Perikanan 1985,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau memberitahu, pihaknya banyak menerima aduan khususnya daripada nelayan tradisional berkenaan kegiatan itu.
Ujarnya, sikap tamak segelintir pengusaha bot nelayan itu dikhuatiri boleh menjejaskan keseimbangan ekosistem serta mata pencarian nelayan tradisional yang bergantung hidup hanya di kawasan perairan bawah 5 batu nautika.
“Justeru, kami tidak akan berkompromi terhadap mana-mana aktiviti perikanan yang tertakluk di bawah perlanggaran syarat sah lesen dibenarkan pihak berkuasa,” katanya. – K! ONLINE











