PULAU PINANG 29 Julai – Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar melahirkan keyakinan masih belum terlambat untuk projek mega tambak laut di perairan selatan negeri ini (PSR) digantikan dengan inisiatif yang lebih baik.
Nurul Izzah dalan hantaran menerusi laman sosial Facebooknya malam tadi menjelaskan, Malaysia tidak perlu mengikut jejak langkah negara yang giat dengan aktiviti penambakan seperti Hong Kong atau Dubai yang akhirnya membawa kepada kemusnahan atau kesusahan pada keseluruhannya.
Tambahnya, beliau tetap dengan pendirian yang mana pampasan kepada nelayan terlibat dan pembinaan lebuh raya baharu masih tidak mampu untuk menyelesaikan kesesakan trafik di Pulau Pinang di samping kesan buruk kepada alam sekitar.
“Saya sudah bertemu Ketua Menteri, Chow Kon Yeow bersama beberapa lagi pemimpin dalam membincangkan isu penambakan Selatan Pulau Pinang.
“Saya menghargai ruang yang diberikan dalam melontarkan pendapat kami.
“Dengan harapan kerjasama daripada kerajaan pusat dan iltizam kerajaan negeri dalam menaik taraf pembangunan Pulau Pinang, saya yakin masih tidak terlambat untuk kita menggantikan projek penambakan mega ini dengan inisiatif yang lebih baik,” katanya.
Kerajaan negeri sebelum ini mengumumkan pelaksanaan projek tambakan laut seluas kira-kira 1,800 hektar itu di Permatang Damar Laut di sini bagi membina tiga pulau buatan untuk tujuan pembangunan.
Mengikut perancangan, pulau buatan itu akan dijual bagi mendapatkan modal untuk melaksanakan komponen projek di bawah Pelan Induk Pengangkutan (PIP) Pulau Pinang yang bernilai RM46 bilion.
Bagaimanapun, rancangan itu mendapat bantahan majoriti nelayan, penduduk setempat dan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bimbang dengan kehilangan mata pencarian nelayan serta kemusnahan ekosistem laut yang disebabkan oleh projek tersebut.
Sebelum ini, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyatakan sokongan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk mendapatkan dana daripada Kerajaan Persekutuan bagi membiayai sebahagian projek di bawah PIP.
Menerusi dana itu, kerajaan negeri bersedia mempertimbang semula saiz dan skala projek tambak laut berkenaan yang ketika ini sudah mendapat kelulusan laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS). – UTUSAN ONLINE











