Semangat kesatuan 28 tahun Exists - Utusan Malaysia

Semangat kesatuan 28 tahun Exists

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bukan mudah untuk menyatukan sebuah kumpulan yang sudah lama terpisah untuk kembali bergabung di atas sebuah pentas, apatah lagi jika anggotanya sudah bersilih ganti.

Selama 28 tahun sejak penubuhan, Exists telah menyaksikan kehadiran dua orang vokalis iaitu Mamat dan Ezad serta pengunduran dua ahli lain iaitu Shah (gitar) bersama Ajai (keyboard).

Bermula dengan enam orang anggota pada awal penubuhan, Exists semasa zaman aktifnya sekitar tahun 2008 hanya digerakkan oleh tiga orang ahli sahaja iaitu Along (gitar), Ujang (dram) dan Musa (gitar) bersama seorang vokalis jemputan iaitu Joey.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kini, selepas 11 tahun menyepi daripada radar muzik, keenam-enam anggota asal Exists akan mencipta sejarah tersendiri apabila tampil dengan ikrar untuk menyatu di atas pentas Konsert Exists Reunion pada 28 September depan.

Tidak cukup dengan khabar mengujakan tersebut, mereka juga akan menghadiahkan sebuah single khas buat peminat bertajuk Tak Berakhir, nyanyian Mamat dan Ezad yang akan dipersembahkan pada konsert kelak.

Sentimental

Bagi Ajai yang juga bertindak sebagai komposer Takkan Berakhir, sudah lama dia tidak menemukan sebuah momentum dan energi sebegitu sejak meninggalkan Exists pada tahun 1997 demi fokus terhadap kerjaya muzik solonya.

“Konsert ini sangat sentimental bagi kami yang membesar dengan Exists, melalui perit jerih dan suka duka bersama sejak berusia belasan tahun.

“Bukan peminat sahaja rindu, kami juga tidak sabar untuk sama-sama mengadakan persembahan di atas pentas seperti dahulu,” katanya usai sidang akhbar Konsert Exists Reunion di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Perkara sama turut diakui oleh Mamat yang merupakan vokalis pertama Exists dari tahun 1991 hingga 1994. Tambah lelaki berusia 42 tahun itu, demi Exists, dia rela menangguhkan pelancaran single sendiri demi memberi laluan untuk konsert kelak.

Bakal menyampaikan lagu-lagu popularnya sewaktu bersama Exists seperti Untukmu Ibu dan Rahsia Pohon Cemara, Mamat mengakui cukup gementar kerana ini kali pertama akan menyanyi di pentas besar bersama kumpulan berkenaan.

“Semasa saya menyanyikan lagu-lagu itu, usia saya baru 12 tahun dan suara pun belum ‘pecah’. Susunan muzik memang akan diubah bagi menyesuaikan lagu dengan nada suara terkini tetapi saya berjanji, bunyinya masih akan kedengaran sama.

“Konsert ini akan mengimbau banyak kenangan Exists. Bagi peminat yang sudah mengikuti kami sejak tahun 1991, mereka perlu berada di sana kerana ia akan menjadi satu persembahan yang tersangat istimewa,” jelasnya.

Matang

Sementara itu, pemilik vokal lunak Ezad Lazim pula seakan-akan tidak percaya bahawa impian untuk mengadakan konsert bersama semua anggota asal Exists akan menjadi kenyataan selepas bertahun-tahun dilayangkan angan.

Akui Ezad yang menyertai Exist pada tahun 1995 hingga 2007 menggantikan Mamat, dahulu banyak berselisih faham dan wujud pelbagai kontroversi sehingga Exists merundum dalam industri muzik tanah air.

Bagaimanapun, usia mematangkan fikiran dan masing-masing berusaha untuk memulihkan semula hubungan yang tercalar kerana tidak mahu legasi Exists yang pernah gah suatu ketika dahulu hilang begitu sahaja.

“Sekurang-kurangnya dengan konsert ini, peminat tidak lagi mengingati Exists sebagai kumpulan yang banyak isu. Kami akhirnya berdamai sesama sendiri demi menjaga nama Exist yang sebenarnya sangat besar dalam dunia muzik tempatan.

“Saya bersyukur kerana setelah banyak kali percubaan membuat konsert ‘reunion’, baru kali ini hampir menjadi kenyataan. Tambah manis, semua ahli sudi turun padang untuk menjayakannya,” ujarnya sambil tersenyum lebar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini