KUALA LUMPUR – Walaupun gagal menamatkan kemarau 15 tahun penantian Piala FA, namun, ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic tetap berbangga dengan persembahan yang dipamerkan oleh anak-anak buahnya.
Mehmet berkata, berdasarkan peluang yang dicipta para pemain mampu untuk menghadirkan sekurang-kurangnya dua atau tiga gol, namun, pengendali dari Australia itu mengakui ketangkasan penjaga gol Kedah, Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim menjadi penghalang.
“Perlawanan yang menarik. Kedua-dua pasukan saling menyerang, walaupun mereka bermain di atas padang berlecak. Saya bangga dengan pemain saya kerana mereka berjuang sampai masa habis dan anda sendiri boleh menyaksikannya.
“Kami bermain dengan baik, tetapi Kedah pasukan yang bagus dan secara peribadi penjaga gol Kedah adalah pemain terbaik perlawanan kerana kalau bukan dia mungkin kami sudah menjaringkan dua atau tiga gol,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.
Dalam pada itu, Mehmet mengakui sebaik sahaja pertahanan Perak, Amirul Azhan Aznan diarah keluar padang setelah mengutip kad kuning kedua, rentak permainan Bos Gaurus terjejas.
“Bukan mudah beraksi dengan 10 pemain, tambahan pula keadaan permukaan padang yang sangat lembut. Sukar untuk menghadapi Kedah yang mempunyai 11 pemain,” katanya. – UTUSAN ONLINE











