Tentera Iran lebih hebat – Daily Express - Utusan Malaysia

Tentera Iran lebih hebat – Daily Express

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON 28 Julai – Akhbar Britain, Daily Express dilapor menerbitkan laporan yang memaparkan ‘carta mengejutkan’ yang menunjukkan kekuatan tentera Iran mungkin mengatasi Britain dalam beberapa aspek di te­ngah-tengah ketegangan antara London dan Teheran.

Lapor Press TV, laporan itu diperolehi daripada kumpulan Global Fire Power (GFP) yang menunjukkan Iran mempunyai kelebihan berbanding Britain daripada kriteria biasa digunakan untuk melihat potensi kekuatan tentera negara-negara.

“Perbandingan antara kekuatan tentera Britain dan Iran menunjukkan London ketinggalan dari segi jumlah anggota tentera, kekuatan darat dan laut serta sumber petroleum.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Iran mempunyai kelebihan dari segi jumlah kekuatan tenteranya, kereta kebal, kapal dan aset artileri selain hampir 40 juta orang boleh dipanggil menyertai khimdat negara, hampir dua kali ganda daripada angka dimiliki Britain,” jelas laporan itu, semalam.

Selain itu, Iran dikatakan mempunyai kelebihan ketara dalam pengeluaran kadar mi­nyak harian, lima kali ganda lebih tinggi dari Britain ketika penganalisis menyifatkan sumber minyak penting untuk mengekalkan kempen ketenteraan.

Namun, laporan itu mendakwa Britain turut mempunyai kelebihan bagi kekuatan tentera udara berbanding Teheran.

Bagaimanapun, perbandi­ngan itu dilihat tidak komprehensif yang hanya bergantung kepada analisa bernombor dan asas.

Laporan akhbar itu juga me­lahirkan kebimbangan kemungkinan tercetusnya konfrontasi tentera antara kedua-dua negara berikutan ketegangan yang berlaku baru-baru ini.

Ketegangan antara Teheran dan London tercetus apabila kapal minyak Grace 1 yang membawa 2.1 juta tong minyak Iran ditahan di wilayah Britain, Gib­raltar awal bulan ini.

Rampasan itu dibuat atas dakwaan kapal itu membawa minyak mentah ke Syria yang melanggar sekatan Kesatuan Eropah (EC) sejak 2011.

Minggu lalu, Iran menahan kapal tangki Stena Impero selepas ia didakwa berlanggar dengan sebuah kapal nelayan Iran dan melanggar peraturan maritim antarabangsa.

Sejak rombakan Kabinet Rabu lalu, London masih belum menetapkan rancangan khusus untuk misi menyelamatkan kapal itu ketika pemerhati me­ragui langkah kerajaan.

Namun, Iran tetap bertegas untuk mencari penyelesaian politik dalam meredakan ke­tegangan antara kedua-dua negara. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini