SRINAGAR 28 Julai – Ketegangan di Kashmir yang ditadbir India memuncak hari ini apabila New Delhi menempatkan sekurang-kurangnya 10,000 anggota separa tentera ke wilayah bergolak itu, langkah ditegaskan pihak berkuasa sebagai rutin.
India sebelum ini mengekalkan penempatan sebanyak 500,000 anggota tentera di kawasan Himalaya yang majoritinya Islam sejak perpecahan antara negara Asia Selatan itu dan Pakistan sejak 1947.
Ketua Polis, Daibagh Singh sebagai berkata, jumlah itu dijangka meningkat kepada 20,000 orang bagi memantau upacara agama tahunan yang diadakan di kawasan tersebut.
“Tentera telah ditempatkan secara beterusan selama tujuh bulan. Sebahagian daripada mereka telah bercuti dan sebahagiannya menjalani latihan di luar,” katanya di sini hari ini.
Menurut seorang pegawai keselamatan kanan yang enggan namanya didedahkan, penempatan itu bagi mengawal sebarang kemungkinan protes tentang keputusan atau acara.
Katanya, struktur keselamatan India di Kashmir sedang diorientasikan semula tidak seperti sebelum ini.
Penduduk tempatan berkata, mereka bimbang Perdana Menteri, Narendra Modi akan mengetepikan Artikel 35A yang membenarkan penduduk luar membeli tanah di wilayah itu.
Penempatan itu juga barang kali mempunyai kaitan dengan kenyataan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang mendakwa beliau diminta untuk menjadi sebagai orang tengah bagi menyelesaikan pertikaian antara India dan Pakistan. –AFP











