SUBANG, Indonesia 28 Julai – Taman Pelancongan Alam (TWA) Gunung Tangkuban Parahu ditutup buat sementara waktu kepada semua pengunjung selepas meletus kelmarin.
Tribunnews melaporkan, perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Polis Jawa Barat, Rudy Sufahriadi ketika meninjau keadaan Kawah Ratu yang merupakan lokasi utama di Tangkuban Parahu semalam.
“Berdasarkan tinjauan yang dilakukan, pihak berkuasa memutuskan TWA ini ditutup selama tiga hari dan berkemungkinan tempoh penutupan dilanjutkan sehingga keadaan benar-benar stabil.
“Kami akan melihat keadaan selepas tiga hari Tangkuban Parahu ditutup biarpun keadaan kembali normal,” katanya.
Antara sebab utama kawasan gunung berapi itu ditutup adalah kerana kebanyakan kawasan diselubungi debu tebal susulan letusan yang berlaku kelmarin.
Setakat ini, status Tangkuban Parahu masih di tahap normal, namun orang ramai dinasihatkan supaya tidak mendekati kawasan Kawah Ratu dan Kawah Upas.
Hal ini kerana gas sulfur yang dikeluarkan oleh gunung berapi tersebut boleh menjejaskan kesihatan. – AGENSI











