Johnson bukan ‘Britain Trump’ - Utusan Malaysia

Johnson bukan ‘Britain Trump’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UMUM mengetahui Boris Johnson dipilih sebagai Perdana Menteri Britain yang baharu menggantikan Theresa May pada 24 Julai lalu selepas mengetepikan pesaing terdekatnya, Jeremy Hunt sewaktu undian Tory (Parti Konservatif) dengan 92,153 undian berbalas 46,656.

Namun bekas Datuk Bandar London itu berdepan tugas getir dalam pentadbiran Bri­tain kali ini, khususnya apabila melibatkan penyelesaian Brexit yang ‘gagal’ diterjemah May dan beliau tidak menunggu lama apabila melaungkan pendiriannya untuk memastikan rundingan Brexit berjalan seperti dirancang.

Tetapi Johnson yang merupakan penggerak kempen Brexit pada 2016 merancang untuk mela­kukan rundingan baharu Brexit yang menyaksikan sebahagian besar perjanjian dibuat May dengan Brussels tahun lalu dirombak semula.

Memuatkan artikel berkaitan…

Penyokong Johnson yakin sifat optimis dimiliki oleh beliau menjadikannya sebagai orang paling tepat untuk memastikan Britain dapat menyelesaikan isu Brexit. Menarik­nya, salah seorang penyokong beliau adalah Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Ramai menyatakan wujud persamaan antara Johnson serta Trump dan perbandingan itu mungkin disukai oleh Trump sendiri hingga ada pihak menggelar Perdana Menteri itu sebagai Britain Trump.

“Mereka (rakyat Britain) menyukai saya. Itu apa yang mereka mahu. Itu apa yang mereka inginkan,” kata Trump baru-baru ini.

Namun jika dilihat kembali, Johnson secara hakikatnya hanya dipilih oleh anggota Parti Konservatif, iaitu 0.2 peratus daripada populasi penduduk Britain dan Trump juga tidak diterima dengan baik di United Kingdom (UK).

Malah, perbandingan itu bukanlah perkara yang akan disukai oleh Johnson terutamanya perbandingan itu tidak terlalu menonjol apatah lagi terdapat beberapa sebab untuk mengkritik Perdana Menteri tersebut yang kerap mengeluarkan kenyataan kontroversi sejak beberapa tahun lalu.

Beberapa kenyataannya dalam ruangan pojok akhbar seperti wanita Muslim yang memakai purdah ‘kelihatan seperti peti surat’ selain menggunakan terma bersifat perkauman untuk menggambarkan orang dari Komanwel.

Bagaimanapun, Johnson bukanlah seorang yang bersikap antipendatang seperti Trump. Walaupun Johnson bercakap mengenai usaha mengawal kemasukan pendatang, beliau sebenarnya adalah pro-pendatang.

Pemimpin berusia 55 tahun itu sendiri mempunyai susur galur dari Turki kerana mo­yang lelakinya, Ali Kemaeorang merupakan wartawan dan ahli politik yang terbunuh selepas diculik dan didakwa atas tuduhan pengkhianatan semasa pemerintahan Empayar Uthmaniyyah.

Ali Kemal dilahirkan di Konstantinopel (kini Istanbul) pada 1867 dan melarikan diri ke England ketika isterinya, Winifred, melahirkan anak lelaki, Osman Wilfred Kemal di Bournemouth sebelum Ali membuat keputusan kembali semula ke Turki dan dilantik menjadi Menteri Dalam Negeri pada 1919.

Anak lelakinya yang tinggal di London menggunakan nama Johnson untuk mengelak daripada dibuli malah menukar nama kepada Wilfred Johnson dan berkahwin de­ngan Irene William. Pasangan itu mempunyai seorang anak lelaki, Stanley Johnson, bapa kepada Boris Johnson.

Johnson, se­perti Trump, gemar menurunkan kadar cukai untuk golongan kaya. Tetapi berbeza dengan Trump, beliau bukanlah seorang pemimpin yang melin­dungi ekonomi Britain kerana Perdana Menteri itu percaya, kebaikan utama Brexit adalah ia akan membuka ekonomi UK kepada seluruh dunia.

Perkara paling penting yang membezakan antara Johnson dan Trump adalah Perdana Menteri Britain itu sebenarnya perlu menyatukan negaranya khasnya jika beliau mahu melaksanakan Brexit dan meraih sokongan politik dalam usaha beliau memenangi pilihan raya umum di negara tersebut.

Bagi penyokong Brexit pula, mereka percaya perjanjian perdagangan antara AS berkemungkinan merupakan jalan terbaik untuk membuktikan kepada dunia bahawa Brexit adalah satu projek yang berjaya.

Oleh itu, idea bahawa Johnson akan menjalinkan hubungan baik dengan Trump dilihat sebagai perkara positif oleh penyokong Brexit.

Bagaimanapun, sehingga kini belum ada bukti kukuh yang meramalkan bahawa perjanjian perdagangan dengan AS akan memberi impak positif terhadap ekonomi UK selepas negara itu meninggalkan EU apatah lagi beliau perlu membina kembali hubungan bersama Trump.

Hubungan Britain dan AS sedikit terjejas selepas insiden kebocoran memo sulit bekas Duta Britain, Sir Kim Darroch yang menggelar pentadbiran Trump sebagai tidak berkemahiran. Insiden itu juga menyebabkan Darroch meletakkan jawatan.

Johnson selain itu turut berdepan kesulitan lain apabila mentadbir Britain tanpa majoriti di Parlimen.

Parti Buruh pada bila-bila masa boleh menggugat pentadbirannya dengan melakukan undi tidak percaya walaupun situasi itu dijangka tidak berlaku dalam masa terdekat memandangkan Parlimen menangguh persidangannya dan akan kembali bersidang pada 3 September ini.

Namun, Parti Konservatif yang memegang tampuk peme­rintahan tidak memerlukan undi majoriti ahli untuk membo­lehkan seseorang individu kekal sebagai Perdana Menteri.

Selain itu, Johnson juga perlu menyelesaikan konflik dengan Iran, apabila kapal milik UK, Stena Impero dirampas oleh Iran di Selat Hormuz baru-baru ini.

Beliau perlu menyambung semula tugas May untuk memastikan keselamatan ke­semua 23 anak kapal yang ditahan dalam kejadian itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini