LONDON – Bos Liverpool, Jurgen Klopp menegaskan, dia tidak cemburu dengan kuasa berbelanja yang dimiliki Manchester City.
The Reds bakal memulakan kempen 2019/20 selaku juara Eropah, dengan berbekalkan keyakinan tinggi bagi mempertahankan gelaran tersebut dan mengatasi City dalam saingan Liga Perdana Inggeris.
Anak-anak buah Klopp akan bersaing merebut enam gelaran termasuk Piala FA, Piala Liga, Piala Super UEFA dan Piala Kelab Dunia FIFA. Namun, hanya pemain remaja Belanda berusia 17 tahun, Sepp van den Berg yang tiba pada musim panas ini.
City sendiri hanya menambah seorang pemain selepas mendominasi aksi domestik musim lepas, dengan ketibaan pemain antarabangsa Sepanyol, Rodri dari Atletico Madrid menerusi rekod perpindahan kelab bernilai 62.8 juta pound (RM320 juta).
Selain City, finalis Liga Juara-Juara, Tottenham Hotspur telah memecah rekod perpindahan dengan menandatangani Tanguy Ndombele, manakala Real Madrid, Atletico Madrid dan Barcelona turut berbelanja besar, dengan Juventus mengukuhkan skuad menerusi kehadiran Aaron Ramsey serta bintang muda Ajax, Matthijs de Ligt yang bernilai 68 juta pound (RM346 juta).
Bagaimanapun, Klopp menegaskan, dia hanya bimbang untuk menyusun atur kediamannya, dan gembira dengan pelaburan dalam skuad bimbingannya.
“Saya tidak bercakap tentang apa yang pasukan lain sedang lakukan. Saya tidak tahu bagaimana mereka lakukannya. Kami juga perlu bayar bil. Maaf! Semua orang perlu bayar bil; kita perlu bayar bil. Kami ada melakukan pelaburan. Tetapi sekarang seolah-olah kami tidak melabur pula.
“Kami bukan berada dalam alam fantasi, yang mana anda dapat apa yang anda mahukan. Anda tidak boleh lakukan selalu. Kelihatannya terdapat empat kelab yang mampu lakukan secara kerap. Madrid, Barcelona, City dan PSG. Apa sahaja yang mereka mahukan, mereka akan buat.
“Anda tidak boleh buat perbandingan. Bergantung kepada situasi. Ia bukan kritikan. Saya tahu bagaimana orang lain menerimanya, mungkin mereka fikir saya cemburu. Saya tidak cemburu sama sekali!” kata Klopp yang bakal menyaksikan Liverpool bertemu City dalam Piala Perisai Komuniti di Wembley, Ahad depan. – AGENSI











