BANGKOK – Peninju Muay Thai Perak, Mohammad Rifdean Masdor kecundang dalam misi memburu emas apabila kalah tipis satu mata kepada peninju Thailand, Naruephon Chittra dalam final acara 48 kilogram (kg) pada Kejohanan Muay Thai Dunia di sini, hari ini.
Peninju muda berusia 17 tahun itu, bagaimanapun, memberi tentang sengit sebelum kalah dengan kiraan mata 29-28 untuk meraih pingat perak di Stadium Tertutup Huamark, di sini.
Ketua jurulatih Muay Thai Perak, Bernard Radin berkata, anak buahnya itu telah mempamerkan aksi cemerlang dalam pertarungan tersebut serta dapat menandingi peninju tuan rumah tersebut.
“Dia masih muda dan pertandingan ini akan memberi pengalaman serta ruang untuk memperbaiki prestasinya bagi pertarungan akan datang,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Mohammad Rifdean berkata, dia akan menjalani latihan rutin dengan bersungguh-sungguh bagi menghadapi pertandingan akan datang.
Anak kelahiran Kuching, Sarawak itu yang merupakan pelajar tingkatan lima di Sekolah Menengah Kebangsaan JalanTasek, Ipoh, Perak, bakal beraksi dalam Sukan SEA 2019 di Filipina, November ini. – BERNAMA











