ALOR SETAR – Pemain muda Kedah, Fadzrul Danel Nizam mahu menjadikan kejayaannya membantu Kedah menjulang Piala FA sebagai semangat untuk berusaha lebih keras dalam perlawanan Piala Malaysia dan Piala Liga Juara-Juara Asia Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) musim depan.
Fadzrul Danel, 21, yang merupakan pemain tengah pasukan Lang Merah berkata, dia sama sekali tidak menyangka dapat menjaringkan gol yang sekali gus menewaskan Perak 1-0, pada perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam tadi.
“Ini merupakan perlawanan terbesar dalam hidup saya dan sebelum masuk padang, ketua jurulatih (Aidil Sharin Sahak) tidak banyak bercakap dan hanya berpesan kepada saya kalau dapat bola, terus cuba untuk jaringkan gol dan saya sama sekali tidak sangka mampu lakukan perkara itu.
“Saya akan bawa pengalaman yang ditimba ini, untuk perlawanan Piala Malaysia dan Piala AFC akan datang dan akan buat persediaan lebih baik untuk bantu Kedah julang piala yang lain,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) di sini, hari ini
Terdahulu, pemain pasukan Kedah yang menaiki pesawat Firefly (FY1672) selamat tiba di LTSAH bersama Piala FA yang dimenangi, pada pukul 4.10 petang sebelum disambut ahli keluarga dan para penyokong.
Fadzrul Danel berkata dia berterima kasih kepada keluarga dan penyokong yang tidak putus-putus mengirimkan ucapan tahniah, selepas berjaya membantu Kedah menjulang kejuaraan pada perlawanan Piala FA semalam.
“Saya gembira sangat semalam sampai tidak lena tidur. Penyokong pula banyak mengirimkan ucapan tahniah di laman sosial media saya dan itu membuatkan saya rasa cukup terharu,” katanya.
Mohd Fadzrul Danel muncul wira skuad Lang Merah malam tadi apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-105, sekaligus memusnahkan harapan Perak untuk menjulang Piala FA yang kali terakhir dimenangi pada 2004.
Kejayaan itu juga meletakkan Kedah menyamai rekod kejuaraan lima kali Selangor selepas turut meraih gelaran juara pada 1996, 2007, 2008 dan 2017 selain melayakkan mereka beraksi pada pusingan kalah mati saingan Liga Juara-Juara Asia musim 2020.- BERNAMA











